Disember 23, 2024

Peserta program, tenaga pengajar bergambar dengan Penolong Pegawai Daerah Tangkak di Pejabar Daerah Tangkak

JOHOR BAHRU, 18 Okt. – Seramai 25 orang usahawan menerima bimbingan berkaitan pensijilan halal dalam Program Kesedaran Halal dan Bimbingan Pensijilan Halal Bersama Usahawan IKS Daerah Tangkak’ sepanjang dua hari, bermula 16 hingga 17 Oktober  lalu. Program yang berlangsung di Pejabat Daerah Tangkak dan UTM Kampus Pagoh ini dianjurkan secara bersama oleh Innovation Centre of Agritechnology (ICA) UTM Kampus Pagoh, Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM, Unit Pembangunan Ekonomi, Pejabat Daerah Tangkak dan juga Holistics Lab Sdn. Bhd.

Para usahawan yang menyertai program pemindahan teknologi bergambar kenangan di hadapan Inkubator Halal KPT-UTM Kampus Pagoh.

Program yang dijalankan melibatkan beberapa sesi seminar, lawatan dan pembelajaran praktikal. Antaranya, slot ‘Kursus Kesedaran Halal’ dengan kerjasama Holistics Lab Sdn Bhd, diikuti dengan slot asas aplikasi pensijilan halal iaitu dokumentasi dan pembangunan premis secara teori dibawah bimbingan staff yang terlatih dari Inkubator Halal KPT-UTM Kampus Pagoh. Para peserta turut dibawa untuk  melawat dan mengikuti pembelajaran secara praktikal di Inkubator Halal KPT-UTM Kampus Pagoh. Aktiviti ini memberi pendedahan kepada para peserta tentang situasi sebenar dalam memenuhi keperluan pembangunan premis produk makanan berstatus halal. Disamping itu, para peserta juga turut didedahkan dengan peraturan pelabelan dan cabaran pembangunan produk makanan halal bagi mematuhi Akta Makanan 1983 (Akta 281) dan Peraturan Makanan 1985 dalam usaha menjaga kualiti dan keselamatan produk makanan.

Produk berstatus halal bukan sahaja terletak pada sijil dan logo untuk memastikan kehalalannya tetapi penghasilan produk ini amat mementingkan aspek kualiti, kebersihan dan kesejahteraan. Maka, program ini dapat membantu usahawan produk makanan kategori sederhana dan kecil (IKS) di sekitar Daerah Tangkak dalam meningkatkan kualiti produk agar berdaya saing dipasaran melalui kepentingan produk status halal. Usaha ini adalah untuk memastikan usahawan IKS mampu memahami skop pensijilan halal Malaysia dengan lebih bersepadu dan komprehensif dengan kerjasama strategik bersama agensi pembimbing Inkubator Halal KPT-UTM Kampus Pagoh dan Pejabat Daerah Tangkak.

Program yang telah dirasmikan oleh Penolong Pegawai Daerah Tangkak, En. Nazef Mubaraq bin Kamarudin ini turut menyaksikan penyerahan prototaip produk makanan yang dibangunkan oleh penyelidik UTM bersama dua usahawan IKS Daerah Tangkak, iaitu Kerepek Ledang HQ dan Norlin Frozen Food. Kerjasama bersama Kerepek Ledang HQ melibatkan pembangunkan perlabelan serta kajian ketahanan produk dan juga kerjasama bersama Norlin Frozen Food melibatkan pembangunan formulasi keropok otak-otak. Tidak ketinggalan, majlis juga telah menganugerahkan plag penghargaan kepada Perintis Program Bimbingan Halal : Inkubator Halal KPT-UTM Kampus Pagoh pada tahun 2021 kepada Usahawan IKS Pn Jamaliah binti Juri dan Pn. Haslin binti Md. Basar.

Peserta program, tenaga pengajar bergambar bersama wakil CCIN UTM dan Penolong Pegawai Daerah Tangkak
Wakil pihak ICA Pagoh, CCIN, Pejabat Daerah Tangkak dan Holistics Lab Sdn Bhd bersama para peserta.

Explore More