JOHOR BAHRU, 8 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Geospatial Science & Technology College (GSTC) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mewujudkan kerjasama dan kolaborasi dalam khidmat latihan profesional, akademik, penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Memorandum Persefahaman ini telah ditandatangani di Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Prof. Sr Dr. Hishamuddin Mohd Ali dan Sr Kamaludin Mohd Omar, Rektor GSTC.
Secara umumnya, GSTC merupakan sebuah institusi pengajian swasta yang diuruskan oleh Geospatial Sciences and Geomatics Education Group Sdn. Bhd., sebuah syarikat berasaskan pendidikan pengajian tinggi di bawah Yayasan Kebajikan Juruukur Tanah Berdaftar.
GSTC telah ditubuhkan sejak tahun 2013 dengan objektif utama penubuhannya adalah untuk melahirkan graduan berkualiti dalam bidang sains dan teknologi geospatial.
Di dalam ucapannya, Prof. Hishamuddin berkata selaras dengan agenda UTM, fakulti telah mula menjalinkan hubungan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan, industri dan pusat pengajian tinggi sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Dengan termeterainya memorandum ini, UTM dan GSTC dapat memperluaskan lagi aktiviti khidmat latihan, perundingan, penyelidikan & pembangunan, serta dalam masa yang sama menawarkan penyelesaian masalah melalui penggunaan teknologi geospatial berdasarkan kehendak industri dan komuniti yang lebih inovatif untuk faedah industri dan masyarakat.
Turut hadir dalam majlis ini adalah Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) UTM, Prof. Madya Sr. Dr Kherun Nita Ali.