Disember 22, 2024

Sea Of Life: Inisiatif Murni Mahasiswa Kolej 9 & 10 UTM Tangani Kepupusan Penyu

PULAU TIOMAN, 4 Ogos. – Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej 9 & 10 (JKM K9 &10) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan program Sea of Life “Eksplorasi Komuniti, Tumbuhan Semula Jadi dan Hidupan Marin” selama empat hari tiga malam bertempat di Kampung Juara, Pulau Tioman. Delegasi pemuliharaan hidupan marin ini terdiri daripada 16 orang pelajar dan 10 orang staf UTM, diketuai oleh Wan Nur Najwa Nasuha Wan Ata selaku Pengarah Program dan Cik Rahizah Binti Rahman sebagai Penasihat Program. Sejajar dengan nilai teras UTM, program UTM Top Bidder ini telah bersinergi dengan Prof. Madya Dr. Malarvili, bersama pasukan penyelidik beliau, Juara Turtle Project dan Sekolah Kebangsaan Juara.

Ahli Jawatankuasa Program Sea Of Life yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi Universiti Teknologi Malaysia.

Pada hari pertama, slot aktiviti bersama pelajar Sekolah Kebangsaan Juara telah berjalan dengan lancar dengan pengisian aktiviti mewarna, ceramah kesihatan yang disampaikan oleh wakil doktor dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan penyampaian hadiah. Seramai hampir 40 orang pelajar telah melibatkan diri dalam slot aktiviti ini.

Kem Saringan Kesihatan i-Breath pula telah dijalankan pada hari yang sama di Klinik Desa Kampung Juara, dihadiri oleh Ab Razib Ali Awang, Ketua Kampung Juara, Prof Madya Ts. Dr. Abd Rahman Bin Tamuri, Pengetua Kolej 9 & 10 UTM dan dirasmikan oleh Dato’ Sri Hasan Bin Ariffin, Ahli Parlimen Rompin. Penduduk kampung dijemput untuk menghadiri Kem Saringan Kesihatan ini untuk memeriksa kesihatan. Pemeriksaan tekanan darah, kandungan gula dan saringan Covid-19 menggunakan peranti i-Breath telah dibuat dalam Kem Saringan Kesihatan ini. Kem Saringan Kesihatan ini mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada penduduk kampung.

Di sebelah petang, mahasiswa dan mahasiswi bertolak ke Juara Turtle Project untuk slot perkongsian bersama wakil mereka. Juara Turtle Project merupakan badan bukan kerajaan yang aktif dalam usaha pemuliharaan penyu di Pulau Tioman. Slot petang diisi dengan taklimat mengenai pelbagai maklumat berkenaan dengan penyu seperti jenis-jenis penyu, kitaran hidup penyu dan usaha terkini pemuliharaan penyu di Pulau Tioman. 

Mahasiswa juga diajar cara untuk membuat sarang penetasan penyu untuk pemindahan telur penyu yang bertelur ke pesisiran pantai. Hari kedua diakhiri dengan Night Patrol dimana setiap peserta akan meronda pantai untuk mencari penyu yang bertelur. Rondaan dilakukan setiap jam bermula pada pukul 9 malam sehingga pukul 3 pagi. 

Program diteruskan lagi dengan slot Hunt The Island dan Beauty Marine Life dimana mahasiswa dan mahasiswi berpeluang untuk menghargai ciptaan alam dengan melawat kepulauan di sekitar Pulau Tioman. Tambahan pula, peserta diberi peluang untuk melihat keindahan terumbu karang di sekitar pulau semasa aktiviti snorkeling

Program ini melabuhkan tirai dengan slot terakhir iaitu terokai khazanah alam dengan bersantai di air terjun Ali’s Waterfall yang merupakan tarikan pelancong di Kampung Juara. 

Penganjuran program tanggungjawab korporat sosial (CSR) ini telah memberi kesedaran kepada mahasiswa UTM khususnya warga Kolej 9 & 10 akan kepentingan ekosistem hidupan marin, di samping pentingnya usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan marin untuk tatapan generasi akan datang.

Explore More