Disember 28, 2024

Timbalan Menteri Saran Mahasiswa UTM untuk Hayati Konsep Keluarga Malaysia

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Dr. Santhara J.P menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Dialog Bersama Persatuan Mahasiswa Hindu Universiti Teknologi Malaysia (PMH UTM).

Program anjuran PMH UTM ini membolehkan para mahasiswa dari masyarakat India beramah mesra, di samping mendapatkan motivasi serta panduan daripada pemimpin masyarakat India untuk terus menghayati konsep Keluarga Malaysia.

Dalam sesi dialog tersebut, YB Dato’ Sri menegaskan akan kepentingan mahasiswa masyarakat India untuk bergaul dan bekerjasama erat di universiti walaupun rakan mereka terdiri daripada latar belakang kaum yang berbeza. Mereka juga disaran untuk memupuk sikap saling memahami, hormat-menghormati dan dalam masa yang sama mengamalkan nilai-nilai positif selari dengan konsep Keluarga Malaysia.

YB Dato’ Sri juga memberi sumbangan sebanyak RM20,000 kepada PMH UTM bagi menjalankan pelbagai program komuniti dan akademik di masa hadapan. Beliau berharap ahli PMH UTM dapat menjadi contoh ikutan dan memupuk budaya kepimpinan dengan penganjuran aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

Di akhir sesi dialog tersebut, PMH UTM telah menghadiahkan majalah rasmi persatuan iaituZhagaram yang diterbitkan buat julung kalinya kepada YB Dato’ Sri. Turut hadir dalam Program Ramah Mesra tersebut adalah Prof. Ir. Dr. Sharul Kamal bin Abdul Rahim selaku wakil Timbalan Naib Canselor UTM, TPr. Dr. Gobi Krishna Sinniah, Penasihat PMH UTM dan En. Nasir Fahmi, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan.

Explore More