Disember 22, 2024

MOOC Dinamika Kepimpinan: Platform Digital Kursus Kepimpinan Merentas Sempadan

JOHOR BAHRU, 21 Jul. – Massive Open Online Course (MOOC) adalah pembelajaran atas talian yang boleh diakses oleh setiap orang dari pelbagai latar belakang dan daripada seluruh pelusuk dunia. MOOC digunakan secara meluas kerana ianya percuma tanpa bayaran. Berbeza dengan kursus tradisional, MOOC mempunyai skala pengguna yang lebih besar, dilaksanakan di seluruh dunia merentasi pelbagai rangkaian dan platform dan tiada had penglibatan bagi individu.

Sehingga kini, seramai 407 orang telah berjaya menyertai kursus. Sementara itu, seramai 10 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berpangkalan di Jerman, Oman, Qatar dan China telah berjaya memohon untuk mendapat pengecualian kredit bagi subjek UHPS 6013 yang merupakan subjek umum universiti.  Usaha ini menyahut seruan agenda utama Kementerian Pendidikan Malaysia bagi Lonjakan 9 iaitu Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global dibawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Dasar e-Pembelajaran Negara 2.0).

Pembelajaran melalui MOOC memberi manfaat kepada pelajar untuk mendapatkan ilmu tanpa memikirkan kekangan lokasi dan masa. Melalui MOOC juga, pelajar dapat melibatkan diri dalam proses bertukar idea, berkongsi pengetahuan dan menyelesaikan masalah yang mereka hadapi dalam pembelajaran. Mereka mampu meningkatkan kemahiran mereka dalam mencipta, menyelidik, dan berkongsi sumber  pendidikan secara terbuka. MOOC juga membolehkan pemindahan maklumat antara pensyarah kepada pelajarnya berlaku secara atas talian dan boleh diakses pada bila-bila masa sahaja.

Pelajar juga mempunyai kebebasan untuk menyiapkan kursus berdasarkan  kemampuan diri dan kesesuaian masa mereka, khasnya kepada mereka yang mempunyai karier tetapi berminat untuk menimba ilmu. Kepada yang berminat untuk mendapatkan sijil setelah menyiapkan kursus ini, sedikit bayaran yang berpatutan perlu dibuat. Bagi pelajar UTM yang ingin mendapatkan pengecualian, satu sesi penilaian akan diaturkan oleh pihak  Centre for Advancement in and Flexible Learning (CDex) dan Prof. Madya Dr. Jamilah daripada  Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM sebagai penilai  sesi  tersebut.

Proses pembikinan MOOC Dinamika Kepimpinan bermula pada 12 April 2017. Prof. Madya Dr. Jamilah telah menghadiri Bengkel MOOC di Centre for Teaching  and Learning, UTMLead (kini dikenali sebagai CDex). Hasil kerjasama dengan Prof. Madya Dr. Nurbiha dan kru, bahan-bahan pengajaran telah diterjemahkan dalam bentuk skrip dan rakaman. Setiap bahan dan skrip dihantar untuk semakan dan pemurnian supaya ia relevan dengan keperluan penghasilan MOOC itu sendiri. Setelah selesai proses pemurnian skrip, proses penggambaran dan rakaman dimulakan pada 22 Mei 2017 bersama kru yang sangat kompeten.

Penggambaran dibuat di dalam studio penggambaran yang selesa, ditambah pula dengan peralatan dan peranti yang canggih. Beberapa rakaman  berjaya dihasilkan dalam masa beberapa bulan. Pada 30 Januari 2019, penggambaran terakhir telah dibuat di pejabat Naib Canselor UTM. Setelah selesai semua sesi rakaman, pihak kru telah menyunting rakaman sehingga berjaya menghasilkan video yang mantap. Setelah beberapa proses pengurusan yang berkaitan dilakukan, akhirnya MOOC Dinamika Kepimpinan telah diletakkan di platform MOOC UTM dan ditawarkan kepada semua yang berminat untuk menimba pengetahuan tentang kepimpinan, tanpa mengira lokasi dan waktu.

Kaedah pengajaran dan pembelajaran tradisional kurang mendapat perhatian dalam kalangan pelajar yang berkerjaya. Faktor kekangan masa, jarak dan tuntutan tanggungjawab yang pelbagai memerlukan pelajar untuk memilih kaedah pembelajaran yang menggunakan teknologi, lebih fleksibel dan membolehkan mereka belajar di mana-mana sahaja pada bila-bila masa tanpa bergantung sepenuhnya pada buku atau syarahan di dalam bilik kuliah semata-mata.

Explore More