JOHOR BAHRU, 13 Julai – Pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengenai Program Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia disifatkan kena pada masanya terutama ketika kos sara hidup semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
Dengan harga RM3.50 untuk pelbagai pilihan menu makanan, inisiatif yang diperkenalkan sejak 11 Julai lalu melegakan banyak pihak terutama pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang sedaya upaya berusaha menyediakan persekitaran kondusif buat pelajar.
Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Fasliti, Kebajikan dan Tatatertib Pelajar, Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP), Norsita Zakirai berkata dengan adanya bantuan itu pelajar kini boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran tanpa memikirkan perbelanjaan membeli makanan.
Katanya, menu berkenaan boleh dinikmati di tiga kafetaria terpilih di kampus Johor Bahru dan pihaknya berterima kasih kepada pengusaha kerana memberikan kerjasama yang baik.
“Mana-mana pelajar yang berkeinginan untuk menikmati hidangan dengan tawaran harga istimewa dan berpatutan boleh mengunjungi gerai ‘The Kave’ di Arked Cengal, ‘Pak Lah Cafe U9’ di Scholar’s Inn dan ‘The Ohsemstation’ di Arked N24,” katanya dalam wawancara dengan Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat (OSCA) di pejabatnya pagi tadi.
Menurutnya lagi, inisiatif ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kewangan pelajar dalam membeli makanan harian.
“Mungkin bagi sesetengah pelajar bantuan ini tidak seberapa tetapi sebagai manusia kita perlu bersyukur atas inisiatif yang diperkenalkan oleh KPT ini yang memang tepat pada masanya terutamanya di kala Keluarga Malaysia kini dihimpit dengan isu kenaikan harga barangan mentah seperti ayam dan minyak masak,” katanya lagi.
Adalah diharapkan supaya pelajar UTM dapat memanfaatkan kemudahan yang diperkenalkan oleh KPT ini.