November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 30 Mei –  Keinginan untuk menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran mengurus perniagaan telah mendorong seorang Pengarah Urusan di sebuah syarikat pembinaan untuk mengambil kursus profesional di Sekolah Profesional dan Pendidikan Berterusan Universiti Teknologi Malaysia (UTMSpace).

Selain berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya dan memperolehi Diploma Profesional Pengurusan, Datuk Iskandar Al-Quyyum Ahmad Nazri juga muncul sebagai Graduan Terbaik dalam Majlis Konvokesyen UTMSpace 2022.

Iskandar yang ditemui selepas sesi pengurniaan sijil di majlis konvokesyen berkenaan berkata walaupun sudah mempunyai perniagaan sendiri dan bergelar sebagai Pengarah Urusan di Arus Laksana Sdn. Bhd, beliau tetap bertekad ingin mengambil kursus profesional bagi menambah pengetahuannya.

“Saya tamat pengajian dan memperolehi Diploma Kejuruteraan Awam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 2010 dan selepas itu terus membuka perniagaan hinggalah pada tahun 2019 saya merasakan bahawa perlu untuk menambah pengetahuan dan kemahiran dalam mengurus perniagaan dengan berkesan.

Walaupun ada perbezaan antara teori dan praktikal dalam beberapa subjek yang dipelajari tetapi tidak dapat disangkal terdapat kepentingan untuk menguasai pengetahuan dalam beberapa aspek seperti Pengurusan Sumber Manusia dan juga Pemasaran,” tambahnya lagi

Menurut Iskandar lagi, pengalaman belajar separuh masa ini tiada bezanya dengan individu lain yang menyambung pengajian dengan cara yang sama iaitu bergelut dengan pengurusan masa diantara kerjaya dan belajar.

“Tidak saya nafikan bahawa masa ketika belajar sangat terhad dimana saya bekerja seperti biasa pada Isnin hingga Jumaat dan menghadiri kelas pada hari Sabtu dan Ahad serta menyelesaikan tugasan dan ujian pada sebelah malamnya.

“Jika ingin luangkan masa berkualiti untuk keluarga biasanya saya akan keluar bersama pada sebelah malamnya bersama anak dan isteri jika masa mengizinkan,” ujar bapa dua anak ini.

Menitipkan sedikit nasihat kepada ahli-ahli perniagaan berkenaan dengan ilmu pengetahuan berkaitan bidang ini Iskandar berkata tiada ruginya jika mereka mengorbankan sedikit masa menghadiri kursus profesional seperti ini.

“Tidak semestinya anda mengambil kursus di peringkat Sarjana atau Doktor Falsafah tetapi memadai dengan Diploma Profesional seperti ini dimana anda bakal menikmati fleksibeliti masa ketika mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran.

Ilmu pengetahuan itu amat penting dalam mengemudi perniagaan dengan cemerlang.  Ramai ahli perniagaan di luar sana kecundang kerana tidak ada pengetahuan dan juga kemahiran yang diperlukan dalam mengurus syarikat perniagaan masing-masing,” katanya lagi.

Explore More