November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 23 Mei – Wady atau nama penuh beliau, Mas Irwady Karim membuktikan bahawa dengan tekad dan kesungguhan, tiada apa yang mustahil untuk dicapai.

Wady, 35 tahun menerima Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Awam pada Majlis Konvokesyen ke-65. Menariknya beliau beroleh ijazah dalam bidang yang berlainan dengan bidang kerjaya beliau iaitu seorang usahawan muda yang menjual produk kosmetik.

Pengusaha bagi produk kecantikan, Elegant Cosmetics ini, En Wady bijak mengatur masa memandangkan beliau seorang pelajar dan dalam masa yang sama juga sedang berkhidmat dengan Tenaga Nasional Berhad.

Tekad untuk mengubah nasib, beliau tidak patah semangat untuk terus maju ke hadapan. Kesungguhan beliau membuahkan hasil apabila beliau yang memulakan kerjaya sebagai seorang juruteknik pada 2007, mula sedikit demi sedikit beroleh kenaikan pangkat ke eksekutif (alam sekitar) dan kini bakal menjadi seorang jurutera.

Kesungguhan dan kecekalan yang perlu dicontohi dari usahawan ini adalah apabila beliau tidak mudah berputus asa walaupun perlu bekerja di waktu pejabat sehingga jam 5.30 petang, kemudian menggalas tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa universiti pada malam hari dengan cara mengulang kaji pelajaran dan menyelesaikan tugasan yang diberikan.

Menurut beliau, kesukaran dalam belajar akan menjadi senang dan mudah dengan adanya rakan-rakan seperjuangan di sisi.

Hal ini kerana pada setiap malam, mereka akan berkumpul bersama di mana-mana tempat makan yang sesuai, khususnya McDonalds, untuk belajar secara beramai-ramai.

Usahawan yang berasal dari Dungun, Terengganu ini menyatakan cabaran yang pernah beliau hadapi dan sukar untuk dilupakan sepanjang menjual produk kosmetik beliau adalah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melanda seluruh dunia.

“Sewaktu PKP diumumkan sekitar 2019-2020, memang amat terkesan kerana pada ketika itu saya terpaksa menyimpan stok produk kecantikan yang banyak disebabkan tidak dapat menjualnya secara bersemuka kepada pelanggan dan proses pemasaran juga terbatas.

Namun, itu tidak menjadi penghalang kerana saya mengambil inisiatif melariskan jualan produk dengan cara sentiasa mengemas kini media sosial seperti Instagram dan Facebook serta mempromosikan produk kecantikan melalui ‘instafamous’.

Ia juga ditambah dengan maklum balas yang diberikan oleh pelanggan seperti testimoni yang berjaya sememangnya dapat meningkatkan lagi hasil jualan produk,” kata beliau.

Rasa ingin belajar yang berkobar-kobar dalam diri En Wady ini perlu dikagumi kerana beliau yang merupakan bapa kepada empat orang anak ini telah berkorban dan menghadapi pelbagai rintangan dan halangan seperti perlu berulang-alik dari Terengganu ke UTM Kuala Lumpur selama lima jam setengah perjalanan serta perlu meninggalkan keluarga pada setiap hujung minggu atas sebab beliau mengambil program pengajian separuh masa.

Beliau yang menjadikan usahawan Irfan Khairi sebagai idola, tidak sama sekali melupakan segala perjuangan dan sokongan dari isterinya tersayang dan berkat doa dari ibu tercinta.

“Bagi saya, segala kejayaan yang dikecapi adalah datangnya dari seorang isteri yang sentiasa membantu.

Kekuatan ini menjadi pemangkin semangat buat saya untuk terus menstabilkan lagi ekonomi keluarga di samping melunaskan pembayaran yuran dalam bidang kejuruteraan yang bukan calang-calang harganya,” kata beliau.

En Wady merupakan pelajar jurusan kejuruteraan mekanikal, namun atas harapan arwah bapa, beliau telah mengubah ke jurusan kejuruteraan awam, mengakhiri perbualan dengan ucapan.

‘Kalau hendak berjaya, wajib melalui prosesnya tidak kira cepat atau lambat.

Buat mahasiswa yang ingin menceburi bidang perniagaan, jangan takut untuk mencuba, jangan takut untuk menjual, anda perlu rajin mempromosikan produk anda dan yang penting sekali adalah berani mencuba’,” kata beliau.

En Wady bersama rakan seperjuangan

Explore More