Disember 22, 2024

JOHOR BAHRU, 22 Mei : Persahabatan lapan sahabat yang ibarat “Terapung sama hanyut, terendam sama basah” telah berjaya mengukir kenangan manis tersendiri apabila menerima Ijazah Sarjana serentak pada Majlis Konvokesyen Ke-65 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sesi sebelah pagi hari ini.

Kelas yang dijalankan secara dalam talian dan jarak jauh yang memisahkan mereka berlapan tidak sedikit pun melenyapkan kemesraan persahabatan mereka.

Apa yang lebih manis, mereka dapat menzahirkan betapa eratnya hubungan persahabatan ini dengan bersama-sama bergraduasi walaupun dalam kalangan mereka sudah mempunyai karier dan komitmen yang lain.

Mohd Faiz Che Wahab, 37, anak kelahiran Machang, Kelantan yang juga merupakan salah seorang penerima Anugerah Pelajar Terbaik dengan PNGK 3.95 itu berkata, memandangkan mereka merupakan pelajar separuh masa Ijazah Sarjana, kekangan daripada segi komitmen masa dan jarak tidak dapat dinafikan lagi.

Sewaktu pandemik Covid-19 melanda negara sejak awal tahun 2020 yang menjurus kepada sekatan pergerakan dan aktiviti pembelajaran dijalankan secara dalam talian, mereka tidak dapat berkumpul bersama-sama untuk berbincang berkumpulan dan hanya terbatas di hadapan skrin gajet pintar mereka.

“Banyak cabaran ketika hendak menyerahkan dan menyiapkan tugasan kerana ketika itu negara berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kami semua perlu menunggu pengumuman prosedur operasi standard (SOP) berikutan tidak boleh bersemuka”, tambah Mohd Faiz yang juga merupakan seorang senior Maintenance Engineer di Kaneka Malaysia.

Pengorbanan masa dan tenaga adalah lumrah yang tidak asing lagi dalam sanubari seorang pelajar yang mempunyai tanggungjawab terhadap pelajaran dan pada masa yang sama turut mempunyai komitmen terhadap karier dan ahli keluarga masing-masing.

Menurut Nurrul Hikmah, 29, anak kelahiran Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan itu, kejayaan mereka berlapan pada hari ini adalah tidak lain tidak bukan hasil daripada kecekalan mereka mengharungi halangan mahupun cabaran yang sering bermain dalam fikiran.

Bekerja sebagai seorang jurutera di Malaysia Marine Heavy Engineering (MMHE), sudah tentu situasi ‘terkejar-kejar’ antara pelajaran dan kerjaya menjadi pengalaman berharga kepadanya yang ingin dikongsi pada rakan-rakannya di luar sana yang lain.

Mereka yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Mekanikal merakamkan jutaan penghargaan kepada barisan pensyarah yang banyak membantu sehingga berada pada tahap ini.

“Dalam perjalanan kita menuntut ilmu, kita perlu tahu yang ilmu tidak akan pernah habis dan cukup, sentiasa tambah dan kongsi pada yang lain”, kata Nurrul Hikmah ketika ditemubual di luar perkarangan Dewan Sultan Iskandar, UTM pagi tadi.

Seramai 220 orang graduan menerima ijazah pada sidang kedua hari ini yang disempurnakan oleh Pro-Canselor UTM, Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda binti Bustamam.

Explore More