Disember 22, 2024

Hadapi Komplikasi Otak Selepas Kemalangan, Graduan Ini Tekad Tamatkan Pengajian Ijazah Sarjana

JOHOR BAHRU, 22 Mei – Menghadapi pelbagai komplikasi otak jangka panjang selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya tidak menjadi penghalang bagi Ahmad Mustaqim bin Abdul Rahim, 33, untuk menggenggam Ijazah Sarjana Falsafah Teknologi Marin selepas mengikuti pengajian selama empat tahun di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Mengimbau kembali detik hitam hidupnya yang berlaku pada bulan Februari 2016, Ahmad Mustaqim berkata dia telah mendapat pelbagai komplikasi otak setelah terlantar koma selama 2 hari selepas terlibat dalam kemalangan motorsikal di lebuhraya Kuala Kangsar ketika dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang ke Johor Bahru.

Tambahnya lagi, tragedi tersebut berlaku hanya beberapa minggu selepas beliau mendaftar sebagai pelajar sarjana kerja kursus Falsafah Teknologi Marin di UTM.

Menurut beliau, komplikasi yang dialaminya adalah mudah lupa, mudah hilang tumpuan ketika membaca dan kerap kali tertidur secara tiba-tiba ketika melakukan sesuatu dan akan mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk sedar kembali.

“Doktor mengesahkan keadaaan otak saya sudah tidak ‘fit’ untuk proses pembelajaran normal dan memerlukan sedikit waktu untuk berehat dan pulih. Para pensyarah juga turut mengesyorkan supaya saya menangguhkan dulu pembelajaran saya” katanya ketika ditemu bual usai Majlis Konvokesyen UTM ke-65 sesi ke-2.

Beliau akhirnya membuat keputusan untuk menangguhkan pembelajaran selama satu semester untuk memberi ruang memulihkan kembali kesihatan diri.

Meneruskan semula perjalanan untuk mengenggam segulung ijazah sarjana pada bulan September, beliau telah bertukar kepada pembelajaran sarjana penyelidikan dalam jurusan yang sama setelah berunding dengan pensyarah mengenai situasi kesihatan dirinya.

Tidak melihat faktor kesihatan sebagai satu titik kelemahan diri, anak jati Pulau Pinang ini turut bergiat aktif dalam menjalankan aktiviti persatuan pelajar seperti ‘Post Graduate-Student Society (PGSS)’ dengan menyandang jawatan sebagai naib presiden kelab tersebut bagi Sekolah Kejuruteraan Mekanikal.

Menurutnya, penglibatan dirinya dalam persatuan tersebut telah banyak membantu beliau untuk memulihkan kembali kualiti fokusnya yang telah terjejas dek kemalangan lalu.

Apabila ditanya berkenaan sumber inspirasi beliau untuk tekad menghabiskan pembelajaran, beliau mengakui dirinya amat mengagumi UTM semenjak daripada bangku sekolah lagi.

“Saya amat mengagumi UTM kerana disiplin pembudayaan ilmu yang amat tinggi sentiasa dipratikkan oleh warganya di sini. Apabila saya sendiri telah menjadi salah seorang penuntut di UTM, saya sedar saya perlu mengambil ilmu-ilmu tersebut semaksima mungkin dan rasa nikmat ketika menimba ilmu itulah yang menjadi pendorong untuk saya menghabiskan perjuangan”

“Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai masalah kesihatan semasa proses pembelajaran ini, tak pernah terlintas di fikiran saya untuk berhenti setengah jalan” tambahnya lagi.

Ahmad Mustaqim yang kini berkhidmat sebagai pegawai laut di Jabatan Laut Malaysia turut berkesempatan menyatakan hasrat murninya untuk menyambung pengajian Doktor Falsafah di luar negara pada masa hadapan.

Ahmad mustaqim bersama ibu dan isteri tercinta, tulang belakang yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dan semangat bagi dirinya untuk menamatkan pelajaran

Explore More