JOHOR BAHRU, 16 Feb – Kumpulan ‘Theraplay’ yang dianggotai oleh seramai enam orang mahasiswa jurusan senibina lanskap dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memenangi anugerah projek terbaik dalam pertandingan ‘Project for Happiness’ 2021 yang berlangsung pada 8 Januari 2022.
Kumpulan ‘Theraplay’ yang dianggotai oleh Ho Jia Er (Ketua Kumpulan), Celine Chiow Jia Yee, Soh Huey Xuang, Ho Hui Ching, Cho Jun Kee dan Soon Suh Jing itu telah ditubuhkan pada bulan April 2021 lepas dan juga telah terlibat secara aktif dalam pelbagai projek Tanggungjawap Sosial Korporat (CSR).
Ketua kumpulan Theraplay, Ho Jia Er berkata matlamat utama projek kumpulan ini adalah mewujudkan persekitaran pembelajaran luar yang kondusif dan serba lengkap untuk kanak-kanak istimewa belajar melalui bermain dalam persekitaran landskap terapeutik.
“Objektif utama projek komuniti ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik orang ramai tentang peranan landskap terapeutik dalam menyembuhkan komuniti keperluan khas.
“Projek Theraplay telah dilaksanakan dalam tempoh enam bulan dan siap pada penghujung Oktober 2021 dengan penglibatan pelajar dalam projek ini telah membantu dalam memupuk semangat kerja berpasukan, mengasah kemahiran kepimpinan serta membina kemahiran insaniah salam diri masing-masing,” katanya lagi.
Menurut Jia Er lagi, pencapaian projek ini telah memberikan peluang yang sangat baik kepada pelajar untuk berlatih dan mempraktikkan apa yang telah dipelajari dalam seni bina landskap.
“Pencapaian projek ini merupakan satu gabungan unik antara kemahiran pelajar universiti dan kepentingan landskap terapeutik untuk komuniti berkeperluan khas.
“Disebabkan itu, kami merancang untuk meneruskan projek Theraplay 2.0 di tapak lain dan melaksanakan lebih banyak program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada masa hadapan,” katanya lagi.
Pasukan Theraplay menerima geran sebanyak RM9, 800.00 daripada Yayasan MyStarfish di samping mendapat sokongan pembiayaan menerusi sumbangan komuniti setempat dan juga fakulti.
“Selain pembiayaan, kumpulan kami juga telah mendapat kerjasama dari Institut Arkitek Malaysia (ILAM) dalam mengumpul dana bagi membiayai Rumah Kanak-kanak istimewa di Johor Bahru,” katanya lagi.
Projek kebajikan ini adalah inisiatif penting oleh Yayasan My Starfish dengan objektif untuk menyemai semangat ‘memberi kembali kepada masyarakat’ dalam kalangan mahasiswa.
Yayasan ini telah menyokong sebanyak 160 projek sejak 2014 dengan setiap satunya diberikan pembiayaan sehingga RM10,000 bagi menjayakan setiap projek kelolaan kumpulan mahasiswa universiti.