Disember 22, 2024

Halaqah Ilmu KTHO Siri 3 Telusuri Konsep Reda Menghadapi Musibah

Johor Bahru, 30 Dis. 21- Musibah banjir besar yang melanda beberapa negeri di Malaysia terutama di Kawasan Lembah Klang pada 18 Disember 2021 menjadi satu medan ujian yang berat untuk Keluarga Malaysia.

Kejadian ini menyebabkan puluhan ribu penduduk terkandas dan terperangkap, di samping kerugian harta benda dan yang lebih menyayat hati apabila tragedi ini telah meragut sejumlah besar nyawa penduduk dengan beberapa kehilangan ahli keluarga telah dilaporkan.

Mengambil iktibar daripada tragedi tersebut, program Halaqah Ilmu Siri 3 anjuran Biro Kerohanian dan Sosial, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) dengan kerjasama Majlis Felow Merbauan (MAFAN) telah menyentuh sedikit sebanyak mengenai konsep sabar dan redha dalam menghadapi musibah, serta amalan-amalan yang sedikit, tetapi berkesan dalam memberi ketenangan kepada mereka-mereka yang terkesan dengan musibah banjir ini.

En. Mohd Fadthul Ikmal Bin Misnal, yang juga merupakan Pembantu Felow KTHO UTM telah dijemput sebagai penceramah jemputan bagi Halaqah Ilmu Siri 3 ini.

Program yang bermula pada pukul 8.00 malam dijalankan menerusi aplikasi persidangan dalam talian Cisco Webex, telah diimarahkan lagi dengan kehadiran peserta seramai 124 orang.

Antara intipati halaqah ilmu kali ini adalah perkongsian mengenai contoh terbaik konsep sabar dan reda atas musibah yang melanda sebagaimana yang telah ditujukkan oleh En. Ebby Yus, selebriti pelawak tanah air.

Antara pengajaran daripada musibah yang melanda adalah, sebagai umat islam, kita hendaklah beriman bahawa nikmat, ujian dan musibah itu datangnya daripada Allah sebagai tanda kasihNya kepada setiap hambaNya.

Selain itu, kita seharusnya reda dan sabar dengan apa jua musibah yang menimpa diri kita.

Hal ini kerana sesungguhnya setiap apa yang dimiliki oleh kita, hanyalah pinjaman dari Allah semata-mata.

Tambahan lagi, di sebalik ujian yang datang sudah pasti Allah SWT tidak akan sekali-kali menzalimi hambaNya. Malahan, ujian yang diberikan adalah sesuai dengan kemampuan hambaNya seperti yang telah difirmankan Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 286 yang maksudnya: 

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia mendapat (pahala) daripada (kebaikan) yang dilakukannya dan dia mendapat (seksaan) daripada (kejahatan) yang dilakukannya.”

Doa ditimpa musibah dipanjatkan bagi memberi ketabahan pada Keluarga Malaysia yang terkesan.

Program kemudian diteruskan lagi dengan perkongsian amalan yang ringkas tetapi mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT.

Antara amalan yang telah dikongsikan adalah solat sunat sebelum subuh yang menjanjikan ganjaran yang lebih bernilai dari seluruh dunia dan isinya.

Selain itu, beberapa wirid berupa ayat Al-Quran, zikir dan selawat turut dibincangkan fadilatnya, supaya ia dapat dijadikan amalan dalam kehidupan seharian.

Beberapa wirid berupa ayat Al-Quran, zikir dan selawat yang dibincangkan fadilatnya.

Sehubungan dengan itu, diharapkan para peserta dapat memperoleh manfaat melalui perkongsian ilmu ini dan melihat program ini sebagai satu wadah untuk mengingatkan diri tentang besarnya ganjaran yang diberikan kepada setiap orang yang sabar, reda dan bersyukur atas setiap nikmat dan ujian yang dikurniakan kepada kita.

Malahan sebagai hambaNya yang beriman, kita perlulah terus berusaha untuk memperbaiki amal ibadat kita dengan menambah amalan – amalan sunat menerusi wirid ayat Al-Quran, zikir dan selawat sebagaimana yang telah dibincangkan oleh penceramah, dan yang paling utama, terus beristiqamah dalam melaksanakan amalan-amalan tersebut.

Peserta yang turut bersama menghadiri Halaqah Ilmu Bulanan Siri 3.

Disediakan oleh: Nurul Hazmira Hani Haznan (JKM KTHO) dan Mohd Fadthul Ikmal Misnal (felow penyunting KTHO)

Explore More