Disember 22, 2024

Graduan Cemerlang Ibu dan Anak Universiti Teknologi Malaysia Saling Berinspirasi

JOHOR BAHRU, 11 Dis. – Hikmah tiga kali penangguhan majlis konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berikutan pandemik COVID-19, pasangan graduan ibu dan anak dapat meraikan kejayaan menamatkan pengajian mereka bersama semasa Majlis Konvokesyen UTM ke-64 (MK64).

Mengambil kira besarnya erti sebuah konvokesyen kepada kegirangan graduan, MK64 tersebut dijalankan bermula 11 hingga 18 Disember, bertempat di Dewan Sultan Iskandar (DSI), UTM Kampus Johor Bahru.

Dr. Yasmin binti Hanafi Zaid, Pensyarah Kanan UTM adalah merupakan graduan Doktor Falsafah (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) dari Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK). Manakala anak sulungnya, Yazlin Izzati binti Ya’akop, merupakan graduan Sarjana Muda Teknologi serta Pendidikan Kemahiran Hidup dari Sekolah Pendidikan, FSSK. Yazlin dengan jayanya juga merupakan penerima Anugerah Dekan dan Anugerah Naib Canselor.

Pasangan ibu dan anak ini memilih UTM sebagai tempat menyambung pengajian mereka kerana tertarik dengan program yang ditawarkan di samping yakin UTM adalah Universiti pilihan terbaik untuk warga cemerlang. Selain Dr. Yasmin dan Yazlin, seorang lagi ahli keluarga mereka juga telah memilih gedung ilmu yang sama bagi menyambung pengajian dalam bidang seni bina.

Dr. Yasmin yang bangga dengan pencapaian anaknya berpendapat bahawa perjalanan beliau semasa menyambung pengajian Doktor Falsafah ini turut menyumbang dalam memberi pendedahan yang baik kepada anaknya untuk dicontohi serta bakal membantu anaknya untuk sentiasa bersedia mengharungi cabaran semasa menyambung pengajian ke tahap yang lebih tinggi.

Yazlin juga sempat berkongsi petua-petua yang diamalkannya sebagai seorang pelajar yang cemerlang dalam pelajaran antaranya ialah sentiasa bijak memilih rakan, menghormati pengajar, bersemangat tinggi serta menepati masa.

Pasangan ibu dan anak yang hebat ini saling berinspirasi dan selesa bertukar pendapat kerana mereka memahami peranan dan tugasan pengajian antara satu sama lain dengan baik. Dr. Yasmin juga ada menekankan kepentingan untuk menghargai proses pengajian.

“Kita tidak seharusnya mengejar gelaran cendiakawan semata-mata, kerana yang penting adalah kita harus menghargai proses pengajian yang di lalui kerana ia yang membentuk kita menjadi graduan berkualiti”, ujar Dr. Yasmin


Explore More