November 22, 2024

Search
Close this search box.

Kredit Gambar : Harian Metro

JOHOR BAHRU, 22 Nov – Kerjasama strategik antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Pengangkutan Awam Johor (PAJ) yang berlangsung selama tiga tahun telah berjaya membuahkan hasil apabila Sistem Pemantauan Bas Muafakat Johor dan Sistem Kad Muafakat Johor telah berjaya dibangunkan.

Kerjasama yang mula dijalin pada tahun 2019 ini melibatkan pembangunan sistem untuk memperingkatkan Sistem Pemantauan Bas Muafakat Johor (BMJ) dan juga untuk membangunkan Sistem Kad Muafakat Johor (KMJ).

Ketua Projek, Prof. Ir. Dr. Sharul Kamal Abdul Rahim berkata pembangunan sistem ini dilihat seiring dengan perkembangan teknologi pengangkutan yang pesat di Johor di samping terdapat keperluan bagi PAJ untuk mempunyai sistem maklumat yang menggabungkan semua aspek pengangkutan.

“Skop baru telah ditambahkan dalam projek Sistem Pemantauan Pengangkutan Awam Pintar dengan melibatkan integrasi Sistem Maklumat Geografi (GIS). GIS akan mengumpulkan maklumat termasuk penggunaan tanah, jalan raya, jalan kereta api, infrastruktur pengangkutan awam, penduduk, sempadan, Lot Kadaster, lalu lintas udara dan air.

“Di samping itu, dengan adanya kerjasama antara PAJ dan UTM, sebuah makmal akan dibangunkan di Pusat Komunikasi Tanpa Wayar (WCC) UTM khusus untuk projek pemantauan ini,” katanya lagi.

Antara faedah yang diperolehi dari kerjasama ini adalah membina hubungan yang profesional di antara PAJ dan UTM dalam membangunkan kedua-dua sistem di dalam Negeri Johor.

“Projek ini juga amat membantu UTM dalam mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebagai Universiti Penyelidikan (RU) dari segi hubungan kerjasama industri, hubungan kerjasama penyelidikan serta dapatan dan keluaran (input output) penyelidikan.

“Kerjasama dengan PAJ ini juga memberikan kesan yang amat besar dalam membantu WCC dalam mencapai KPI sebagai Pusat Penyelidikan berimpak tinggi (HiCoE) dari segi hubungan kerjasama industri, hubungan kerjasama penyelidikan, input penyelidikan dan output penyelidikan,” katanya.

Instalasi Sistem Pemantauan Bas Muafakat Johor oleh penyelidik UTM

Explore More