November 22, 2024

Search
Close this search box.

Pada 2-3 November 2021 telah berlangsung bengkel Siri 3 bagi membangunkan Modul Latihan Pelan Tindakan Strategik Desa (PTSD). Aktiviti yang bertempat di Institut Latihan Desa (Institute for Rural Advancement, INFRA) di Bangi Selangor.

Bengkel anjuran Bahagian Latihan, Pemerkasaan Komuniti Desa terutama ini telah disertai oleh dua pensyarah UTM iaitu Dr. Khairul Hisyam Kamarudin dari Fakulti Teknologi dan Informatik Razak dan Dr. Mohamad Fadhli Rashid dari Fakulti Alam Bina dan Ukur yang dilantik oleh INFRA sebagai fasilitator dan pemantau proses pembangunan modul PTSD.

Kedua-dua pensyarah/ penyelidik UTM ini telah terlibat sejak awal proses pembentukan PTSD iaitu Ketika Siri 1 dan 2 yang dijalankan secara atas talian.

Manakala, bengkel Siri 3 adalah latihan kali pertama dijalankan secara bersemuka setelah kesemua negeri memasuki fasa Pelan Pemulihan Nasional.  

Penganjuran Bengkel Siri 1 dan 2 secara atas talian dengan libatsama penyelidik UTM dan wakil agensi di bawah KPLB
Para peserta bengkel sedang menyemak kandungan PTSD yang dihasilkan pada bengkel Siri 1 dan 2
Sesi “Focus Group Discussion” dibuat mengikut Teras SEPKKA

Menariknya, bengkel pembangunan Modul Latihan PTSD Siri 3 bukan hanya disertai oleh pakar daripada universiti awam, para pegawai dari agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), PLANMalaysia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK Johor, Melaka dan Negeri Sembilan), malah menampilkan wakil masyarakat daripada Sembilan (9) buat kampung terpilih iaitu:

1) Kg. Batu Laut, Tg. Sepat, Selangor

2) Kg. Peruas, Raub, Pahang

3) Kg. Teluk Ketapang, Kuala Terengganu

4) Kg. Kilim, Langkawi, Kedah

5) Kg. Kalai, Jeli, Kelantan

6) Kg. Felcra Lubuk Sireh, Perlis

7) Kg. Kesang Tasek, Muar, Johor

8) Kg. Sg. Haji Muhamad, Bagan Datok, Perak

9) Kg. Sg. Lang Tengah, Selangor

Hari pertama bengkel melibatkan sesi taklimat dan perkongsian hasil bengkel Siri 1 dan 2 sebelum ini yang dijalankan bersama-sama penyelidik UTM dan wakil agensi secara dalam talian. Ia diikuti ceramah bertajuk “Pelan Tindakan Kemajuan Kampung” yang disampaikan oleh pegawai daripada Bahagian Komuniti Desa, KPLB dan pembentangan bertajuk “Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara 2030” oleh pegawai daripada Unit Desa, Bahagian Rancangan Fizikal Negara, PLANMalaysia.

Hari kedua menyusul dengan bengkel pembangunan Modul Latihan PTSD berdasarkan input tambahan dan penyesuaian konteks di lapangan yang disumbangkan oleh wakil masyarakat kampung yang terlibat.

Pemilihan kampung dibuat oleh pihak INFRA berdasarkan pencapaian cemerlang setiap kampung dipelbagai bidang termasuklah kelestarian ekonomi, kekuatan sosiobudaya, pembangunan modal insan dan belia serta pemeliharaan alam sekitar. Para peserta turut dibahagi kepada enam kumpulan teras PTSD yang dikenali sebagai Teras SEPKKA (Sosial, Ekonomi, Pendidikan, Kesihatan, Keselamatan dan Agama).

Majlis penutup bengkel telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Pengarah INFRA, Puan Noraina Masduki dalam suasana yang sederhana dan dengan pematuhan SOP kesihatan yang digariskan.

Majlis penutup bengkel PTSD Siri 3 oleh Pengarah INFRA (Tengah), turut dihadiri Dr. Faridah (Ketua unit Latihan, kiri) dan Dr. Khairul Hisyam (UTM, kanan)
Penyampaian cenderamata kepada wakil masyarakat kampung yang hadir

Barangkali perlu dinyatakan juga di sini bahawa para peserta bengkel Siri 3 PTSD merupakan kumpulan pelatih pertama yang “merasmikan” kemudahan asrama baharu INFRA setelah ditutup hampir tiga tahun untuk kerja-kerja menaik taraf dan pemodenan.

Asrama INFRA yang berwajah baharu setelah kerja-kerja menaik taraf selesai
Kemudahan penginapan berhawa dingin dan selesa kepada para peserta yang hadir latihan di INFRA
Dewan makan serba moden dan selesa di INFRA

Fasiliti ini adalah khusus untuk kegunaan aktiviti Latihan anjuran pihak INFRA namun pihak luar juga boleh menyewa untuk menjalankan latihan-latihan yang bersesuaian.

Disediakan oleh: Dr. Khairul Hisyam Kamarudin, FTIR UTM

Explore More