November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 27 Okt. – Hasil penyelidikan, inovasi dan sinergi antara kepakaran bidang kejuruteraan bioperubatan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama pereka tangan robotik, Sujana Mohd Rejab telah membawa evolusi baharu dalam teknologi pembuatan tangan palsu 3D.

Tangan Palsu 3D UTM

Tangan palsu 3D yang dibangunkan melalui kepakaran UTM dan juga merupakan kombinasi teknologi cetakan 3D, perisian lukisan 3D yang Open Source dan tambahan ciri-ciri kawalan elektronik untuk pergerakan tangan palsu serta penambahan ciri deria rasa pada pergerakan tangan palsu cetakan 3D.

Inovasi baharu tersebut adalah kombinasi teknologi cetakan 3D, perisian lukisan 3D yang Open Source dan tambahan ciri-ciri kawalan elektronik untuk pergerakan tangan palsu serta penambahan ciri deria rasa pada pergerakan tangan palsu cetakan 3D.

Tangan palsu cetakan 3D dengan kawalan elektronik tersebut mampu menggerakkan jari-jari secara khusus, menghasilkan gerak isyarat tangan yang berbeza-beza seperti boleh memegang pen dan botol air.

Dengan kepakaran dan pengalaman Sujana dalam mengubahsuai lukisan rekabentuk kejuruteraan dan gabungan kepakaran kumpulan penyelidik dari Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan (SKBSK), Fakulti Kejuruteraan UTM, saiz tangan palsu dengan fungsi yang sesuai giat dibangunkan kepada penerima.

Sujana Mohd Rejab (berdiri) bersama pelajar Yemen semasa Bengkel Pemasangan Tangan 3D ke Yaman di Fakulti Kejuruteraan

Projek tersebut mengambil kira keperluan baharu dalam penggunaan tangan palsu cetakan 3D tersebut.

Menurut Ketua Projek dan Pensyarah Kanan UTM, Ts. Dr. Mohd Najeb bin Jamaludin, inovasi tersebut boleh dimanfaatkan oleh kanak-kanak 10 tahun ke atas termasuk belia/remaja sama ada yang dilahirkan tiada tangan atau kehilangan tangan kerana kemalangan dan sebagainya.

“Projek penyelidikan ini memberi perkembangan impak positif kepada industri percetakan 3D dalam masa yang sama memberi nafas baru dalam perkembangan tangan prostetik aktif, selain kosmetik yang sedia ada.

Istimewanya projek penyelidikan ini adalah ianya bukan semata-mata projek kejuruteraan, namun turut memberi sentuhan kemanusiaan dengan memperkenalkan proses rehabilitasi dan latihan secara berperingkat dan berkala.

Dengan manfaat tersebut, pengguna akan lebih selesa mengenakan tangan prostetik cetakan 3D dalam aktiviti harian, seterusnya mampu untuk mengendalikannya sendiri tanpa bantuan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian usai Majlis Serahan Tangan 3D ke Yaman 2021 di V01, Fakulti Kejuruteraan UTM kampus Johor Bahru. Majlis ini adalah susulan daripada bengkel pemasangan Tangan 3D melibatkan 20 pelajar Yaman di UTM

Dalam majlis tersebut, Pengerusi SKBSK, Dr. Ahmad Zahran bin Md. Khudzari telah menyerahkan 30 buah tangan 3D kepada Presiden Persatuan Pelajar Antarabangsa Yaman UTM, Belal Yahya Hussein yang akan dihantar ke Yaman bagi kegunaan kanak-kanak di sana. Majlis penyerahan turut disaksikan wakil Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM, Puan Fasihah Mohd Jaslan.

Turut menyumbangkan kepakaran dan bahan-bahan Tangan 3D adalah rangkaian kerjasama academia, industri dan komuniti termasuk Digital Perak Corporation Holdings, CNF Design, Satu Teknik Sdn Bhd, Hidrokinetik Technologies Sdn Bhd, UniKL MIMET, wakil UTHM dan wakil pelajar UPM.

Dr Najeb, yang juga adalah ahli RG Bioinspira UTM, berkata, pasukan penyelidik beliau adalah dibangunkan bersama pihak industri yang dipelopori Sujana Rejab dengan kumpulan penyelidik UTM dipimpin oleh beliau bersama Ts. Dr. Saiful Izwan Bin Abd Razak, Ts. Dr. Hadafi Fitri Bin Mohd Latip, Dr. Ahmad Zahran bin Md. Khudzari, Chu Ai Reen, Abdul Salam A Haris dan Nur Amalina Has.

“Bagi proses penyediaan tangan palsu, ianya adalah dalam pelbagai bentuk mengikut jenis kecacatan dan juga mengikut kegunaan harian.

Kadar pergerakan lengan dan bahu pada kecacatan tersebut akan dinilai dan individu yang akan menerima tangan palsu cetakan 3D ini juga akan ditemuduga berkenaan aktiviti hariannya bagi menentukan spesifikasi dan aktiviti latihan yang bersesuaian dengannya selain saiz tangan penerima juga diukur bagi dipadankan dengan rebentuk yang sedia ada,” kata beliau.

Tambah beliau, setelah data-data penerima tangan palsu diperolehi, jenis dan spesifikasi pula ditentukan dan bahagian-bahagian tambahan akan ditentukan mengikut kesesuaian khususnya di bahagian siku dan pergelangan tangan.

Ketua Projek Ts Dr Mohd Najeb Jamaludin (kiri) dan Pengerusi Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan (SKBSK), Fakulti Kejuruteraan UTM, Dr. Ahmad Zahran Md. Khudzari (kanan) menunjukkan tangan palsu 3D yang terhasil melalui gabungan kepakaran UTM dan juga pereka tangan robotik, Sujana Md Rejab.

“Setelah itu, lukisan rekabentuk 3D yang sedia ada akan diubahsuai, dan juga dihasilkan yang baru bagi bahagian-bahagian tambahan dan akan disusuli pula dengan proses cetakan 3D dan diuji pemasangannya sebelum mekanisma fungsi pergerakannya dan genggamannya diuji.

Selanjutnya, penerima akan menguji pula pemasangan pada badannya untuk menentukan sekiranya perlu dibuat pengubahsuaian bagi memastikan fungsi yang sebaiknya dan juga memastikan keselamatan penggunaannya,” kata beliau.

Untuk kemungkinan sebarang perubahan fisiologi pada penerima pula seperti tumbesaran, khususnya kanak-kanak dan remaja, mereka perlu menukar keseluruhan tangan palsu.

Bagi setiap tangan baharu yang diterima, jangka hayat dari segi saiz tangan adalah antara dua hingga tiga tahun bergantung kepada rekabentuk tangan palsu dan menukarkan bahagian lengan sahaja adalah suatu kelebihan tangan cetakan 3D, akhiri beliau.

Presiden Pelajar Yaman UTM, Belal Yahya Hussein (kiri) menerima sumbangan tangan palsu 3D dari Sujana Mohd Rejab

Presiden Persatuan Pelajar Antarabangsa Yaman UTM, Belal Yahya Hussein (kiri) menerima sumbangan tangan palsu 3D dari wakil CCIN, Puan Fasihah Mohd Jaslan.

Explore More