Disember 19, 2024

JOHOR BAHRU, 14 Sept. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyambut baik keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membenarkan pelajar universiti kembali ke kampus secara fizikal menjelang 15 Oktober ini.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail berkata universiti sentiasa mengutamakan kelangsungan pendidikan pelajar serta menitikberatkan kualiti akademik dalam menghasilkan graduan yang terbaik untuk negara.

Menurut beliau, universiti telah menjalankan pelbagai inisiatif untuk memastikan kebajikan serta keperluan akademik pelajar terjaga agar kualiti pendidikan tidak terjejas sungguhpun pelajar tidak berada di kampus.

“Walaubagaimanapun, UTM faham akan keperluan dan kepentingan pelajar untuk berada di kampus bagi tujuan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Sehubungan itu keputusan KPT bagi membenarkan pelajar masuk ke kampus secara fizikal dan berperingkat adalah bertepatan dengan keperluan pelajar,” kata beliau.

Terdahulu, Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad mengumumkan kemasukan pelajar yang lengkap dua dos vaksinasi ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 15 Oktober depan.

Mengulas kenyataan tersebut, Datuk Fauzi berkata, pelajar yang ingin kembali ke kampus perlu membuat permohonan di mana universiti akan membuat pertimbangan dan keutamaan akan diberikan kepada pelajar yang berkeperluan.

“Kategori pelajar yang diberi keutamaan adalah seperti yang perlu menjalani Latihan Industri di kampus, mempunyai keperluan masuk kampus dengan ketetapan KPT, pelajar berstatus khas, pelajar terjejas yang memerlukan ruang pembelajaran kondusif serta pelajar baharu kemasukan semester I sesi 2021/22.

UTM juga akan memastikan pelajar yang dibenarkan masuk adalah mengikut SOP Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT agar dapat membentuk persekitaran yang selamat dan herd immunity di kampus.

Sehingga hari ini, 70.8% daripada 22,635 orang pelajar telah selesai vaksinasi dan bagi yang belum mendapat temujanji, UTM menyediakan kemudahan vaksin secara walk in di Pusat Pemberian Vaksin kategori IPT Integrasi di kampus.

“Buat masa ini, universiti menetapkan maksimum 6,000 orang pelajar sahaja yang akan dibenarkan masuk dan persiapan logistik sedang dirancang bagi membolehkan pergerakan pelajar masuk ke kampus adalah terkawal.

Pihak UTM juga akan menyelaras pergerakan pelajar memasuki kampus berdasarkan keutamaan dan pelan yang lebih terperinci akan diumumkan sebaik sahaja keperluan logistik telah dimuktamadkan dan disediakan,” kata beliau.

Datuk Fauzi turut menekankan  sekembalinya pelajar ke kampus, keselamatan, kebajikan dan kesihatan pelajar serta warga UTM akan diberi keutamaan dengan kerjasama Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Bahagian Keselamatan dan Pusat Kesihatan Universiti.

“Ianya termasuk penyediaan Pusat Isolasi dengan kapasiti 1,000 orang, Pusat Kuarantin, penginapan pelajar di kampus secara 1 bilik 1 pelajar serta sekatan kemasukan dan SOP juga sedang dibangunkan dengan mengambil kira kenyataan KPT, cadangan Majlis Perwakilan Pelajar dan juga pekeliling akademik.

Pengangkutan pelajar pula adalah sama ada menggunakan kenderaan sendiri, dihantar oleh ibu bapa yang telah lengkap vaksinasi, atau menaiki kapal terbang.

Oleh itu ibu bapa pelajar serta warga universiti tidak perlu risau akan keadaan pelajar yang berada di kampus,” kata beliau.

Menurut beliau lagi, proses PdP akan tetap dilaksanakan secara dalam talian dengan pematuhan SOP seperti yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dengan kemasukan pelajar secara fizikal bermula 15 Oktober ini juga diharap dapat merancakkan lagi aktiviti PdP dengan lebih sistematik dalam memastikan kualiti akademik kekal cemerlang.


Seksyen Hal Ehwal Korporat

Universiti Teknologi Malaysia

14 September 2021

Explore More