September 17, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 23 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SIRIM STS Sdn Bhd bagi melaksanakan kolaborasi dalam bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan bakat antara dua institusi.

Majlis menandatangani MoU tersebut telah diadakan melalui platform dalam talian di mana UTM diwakili oleh Naib Canselornya, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail manakala SIRIM STS diwakili oleh Presiden Dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, YBhg. Dato’ Dr. Ahmad Sabirin Arshad.

Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail dalam ucapan beliau berkata MoU yang akan menterjemahkan inisiatif pengetahuan akademik, penyelidikan dan pembangunan bakat ini akan membawa banyak manfaat kepada kedua-dua pihak. 

“Kerjasama strategik ini akan membolehkan pertukaran dan perkongsian ilmu, idea dan wawasan para ilmuan UTM dan juga kepakaran dari pihak SIRIM dimanfaatkan sepenuhnya  dalam usaha mewujudkan kolaboratif akademik, penyelidikan, perundingan, khidmat nasihat teknikal, pensijilan professional serta pembangunan bakat.

“Hubungan yang diwujudkan melalui kerjasama ini diharapkan dapat mengukuhkan lagi kedudukan kedua-dua institusi di peringkat nasional mahupun global,”katanya.

Prof. Fauzi juga berkata MoU yang ditandatangani ini merupakan kesinambungan kepada komitmen yang tinggi dan penglibatan aktif kedua-dua pihak sejak sekian lama.

“Antara program kerjasama yang pernah dijalankan adalah pelantikan pensyarah UTM sebagai pengerusi kepada beberapa jawatankuasa teknikal Piawaian Malaysia (MS).

“Penglibatan Pengurus Besar Kanan SIRIM STS, Dr. Mohd Azman Idris juga telah lebih dari 10 tahun dilantik sebagai salah seorang panel penilai dan penasihat industri kepada Program Kejuruteraan Mekanikal (Industri) UTM,” katanya.

Menurut Prof. Fauzi lagi, pihak SIRIM STS juga telah memberikan keizinan kepada Sekolah Kejuruteraan Mekanikal untuk menawarkan program persijilan profesional kepada pelajar prasiswazah dan pasca siswazah bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail (kiri) dan juga Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, YBhg. Dato’ Dr. Ahmad Sabirin Arshad menandatangani dokumen berkenaan Memorandum Persefahaman (MoU). Majlis ini diadakan secara dalam talian (online) di dua tempat berbeza.

Explore More