Disember 19, 2024

56 pelajar UTM Diterima sebagai Sukarelawan MyVac

“Teruja dan bersedia untuk berkhidmat!” Itu antara ungkapan pertama yang dikongsikan oleh hampir kesemua sukarelawan pelajar UTM yang bakal bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2020/2021, Fitri Nuraliza Syapri antara yang tidak ketinggalan untuk memanfaatkan waktu terluang semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) ini dengan menjadi sukarelawan PPV.

“Selain menjadi pengalaman seumur hidup yang menarik, saya bakal dapat berkenalan dengan rakan ‘frontliner’ lain.

Saya juga bersyukur diberikan peluang untuk terlibat sama dalam program vaksinasi kebangsaan,”ujar Fitri Nuraliza.

Seorang lagi sukarelawan, Yap Wei Kang bangga kerana bakal membantu negara mempercepatkan proses pemberian vaksin dan seterusnya  menyelesaikan pandemik ini dengan lebih cepat.

“Pengalaman lalu melibatkan diri sebagai ‘frontliner’ di Singapura bakal membantu saya menjalankan tugas dengan baik,”tambahnya lagi.

Pusat Pemberian Vaksin (PPV) UTM dijangka akan beroperasi pada 19 Julai 2021 hingga 15 Oktober 2021 dengan kapasiti suntikan sebanyak 1,500 dos sehari bertempat di Dewan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM Johor Bahru.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merupakan antara yang diberi tanggungjawab untuk membantu kerajaan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sekaligus membantu negara membentuk Kelompok Imuniti (Herd Immunity) menjelang Tahun 2022.

Pengurus Sukarelawan Pelajar PPV UTM, Ili Ruwaida Md Yusof berkata, setakat ini seramai 56 pelajar UTM telah mendaftar dan diterima untuk menjadi sukarelawan MyVac bagi membantu melancarkan aktiviti di PPV UTM.

Sesi pengesahan dan pelantikan sukarelawan bersama Jabatan Belia dan Sukan Kulai telah diadakan pada 7 Julai 2021.

“Pendaftaran masih lagi dibuka dan lebih ramai lagi sukarelawan akan diserap untuk bertugas,” ujarnya lagi.

Sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteer (MyVac) bakal memainkan peranan penting dalam pelaksanaan pemberian vaksin Covid-19 kepada petugas barisan hadapan dan masyarakat di negara ini khasnya di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Sukarelawan MyVac dikendalikan melalui kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Belia & Sukan (KBS), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (MRCS).

Explore More