Disember 23, 2024

SHARPS FSSK anjur Majlis Penyerahan Sumbangan Program Selembut Kasih Ramadan kepada pelajar B40

Disediakan oleh: Ana Haziqah A Rashid dan Siti Aisyah Panatik Abdul Rahman

Biarpun pandemik Covid-19 menyekat kehadiran secara bersemuka, Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UTM sentiasa cakna akan keperluan mahasiswa-mahasiswa B40 di SHARPS, FSSK UTM.

Lanjutan itu, SHARPS dengan kerjasama persatuan pelajar Psychology Interactive Club (PSYCHIC) dan Student of Human Resource Development (SMART) telah menganjurkan Majlis Penyerahan Sumbangan Program Selembut Kasih Ramadhan SHARPS 1422H pada 9 Mei 2021.

Program yang dilaksanakan secara dalam talian melalui aplikasi Webex dan Facebook Live ini telah berjaya mendapat penyertaan seramai 69 orang pelajar daripada pelbagai tahun pengajian dalam program SHAR/SHMR (Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia)) dan SHAY/SHMY (Sarjana Muda Psikologi dengan Pembangunan Sumber Manusia) di SHARPS.

Berlangsung selama hampir dua jam, program ini dipengerusikan oleh saudari Aisyah Nadhrah.

Ia telah dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Muhammad Ridzwan Bin Mohd Khozam diikuti dengan kata alu-aluan dari Pengerusi SHARPS iaitu Prof. Madya Dr. Siti Aisyah Panatik Abdul Rahman.

Tujuan utama program ini adalah sebagai simbolik kepada penyerahan sumbangan kepada pelajar B40 di dalam SHARPS.

Segala sumbangan yang diberikan kepada pelajar B40 dalam program ini merupakan hasil pengumpulan dana dari pelbagai pihak termasuklah dari staf, pelajar dan juga Professor Adjung FSSK iaitu Datuk Zunaidah Idris yang juga merupakan mantan Naib Presiden Pelaburan, Hong Leong Bank.

Beliau yang juga merupakan tetamu undangan khas bagi program ini telah memberikan sedikit ucapan ringkas yang menginspirasikan semua untuk berinfaq serta manfaat yang akan diperoleh.

Seterusnya, program diteruskan dengan ceramah Ramadan yang bertajuk Ramadan ditangisi, Aidilfitri dirai oleh penceramah yang dijemput khas iaitu Ustaz Prof. Dr. Ajmain Safar.

Ceramah yang berlangsung selama lebih kurang sejam ini memberi pendedahan tentang keistimewaan Ramadan serta apa yang akan kita hilang sekiranya bulan Ramadan ini berakhir.

Selain itu, beberapa amalan yang patut diamalkan semasa bulan Ramadhan juga dikongsi.

Ustaz Prof. Dr. Ajmain Safar juga menceritakan tentang sambutan dan kemenangan di Aidilfitri serta amalan-amalan yang bagus diamalkan ketika menyambut Aidilfitri termasuklah ziarah maya yang menjadi trend dalam menyambut Aidilfitri semasa pandemik COVID-19 ini.

Sebelum program berakhir, Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi Abu @ Hussin, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) selaku wakil kepada Dekan FSSK telah menyampaikan satu ucapan penutup ringkas sebagai wakil dari pihak fakulti yang berterima kasih dan sangat menggalakan program seperti ini dianjurkan bagi membantu para pelajar.

Program ini diakhiri dengan sesi bergambar dalam talian dengan semua peserta program.

Explore More