November 17, 2024

Search
Close this search box.

Program Balik Kampung hantar 2,073 mahasiswa UTM pulang beraya

JOHOR BAHRU,  7 Mei – Seramai 2,073 orang mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing melalui Program Balik Kampung.

Ini bagi membolehkan kesemua mahasiswa ini menyambut Hari Raya Aidil Fitri yang bakal disambut pada 13 Mei ini bersama dengan keluarga masing-masing.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr Shamsul Sahibuddin berkata penghantaran mahasiswa pulang ke kampung sempena Aidil Fitri ini adalah susulan kebenaran yang diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Pelajar dibenarkan pulang ke rumah bermula 7 hingga 12 Mei 2021 dan perlu pulang semula ke kampus pada 15 hingga 20 Mei 2021.

“Kebenaran untuk pulang ini bagaimanapun hanya tertakhluk kepada mahasiswa yang tinggal di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan juga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sahaja,” katanya.

Bagi mahasiswa yang tinggal di negeri Sarawak dan juga dari lokaliti yang termasuk dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tidak dibenarkan untuk pulang.

“Sehingga 6 Mei, pihak kami telah menerima sebanyak 2,073 permohonan untuk pulang ke kampung halaman yang terdiri dari 1,983 dari kampus Johor Bahru manakala baki sebanyak 90 lagi dari kampus Kuala Lumpur.

“Bagi tujuan keselamatan dan kebajikan mahasiswa ini, UTM telah menyediakan sebanyak enam buah bas yang akan bergerak bagi menghantar kesemua mahasiswa terlibat bermula pada 6 hingga 11 Mei 2021 mengikut empat zon iaitu timur, utara, tengah dan selatan,” katanya lagi.

Menurut Prof. Shamsul lagi, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) telah bekerjasama rapat dengan Unit Pengurusan Kenderaan (UTM Fleet) dalam merekodkan pergerakan pelajar dari peringkat permohonan untuk pulang bercuti hingga mahasiswa kembali semula ke kampus.

“Penghantaran fasa pertama pelajar telah bermula pada 6 Mei dengan melibatkan seramai 290 orang pelajar dihantar pulang ke Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Kedah dan Perlis.

“Kesemua mahasiswa yang memilih untuk pulang hanya diberikan pilihan samada menaiki bas UTM yang disediakan, menggunakan kenderaan sendiri atau dijemput oleh ibu bapa,” katanya lagi.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan lebih 100,000 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara dibenarkan pulang ke kampung sempena cuti Aidilfitri kecuali bagi Sarawak dengan beberapa mekanisme telah ditetapkan bagi mengawal pergerakan.

Sebahagian dari mahasiswa UTM yang pulang ke kampung di bawah Program Jom Balik Kampung universiti itu yang bermula pada 6 hingga 12 Mei 2021.

Salah satu bas UTM yang terlibat dalam Ops Hantar Pulang Pelajar bagi sambutan Aidilfitri ke kampung halaman masing-masing.

Explore More