Disember 22, 2024

Situasi pandemik COVID-19 kini semakin tidak menampakkan sinar cahaya yang jelas di komuniti sekitar kita dan negara kita amnya. Apabila sedikit demi sedikit kelonggaran dibuka, akibatnya hanya beberapa detik selepas itu berlaku peningkatan kes yang ketara.

Kini angka yang dilaporkan telah mencecah kadar purata 4,000 kes sehari dan berpuluh kematian setiap hari.

Sehingga kini (18 Mei 2021) kes positif yang dilaporkan ialah 50,810 kes (di Johor) dengan 3,915 kes aktif di negeri Johor.

"PECAHAN KES POSITIF MENGIKUT DAERAH DI JOHOR SEHINGGA 17.05.2021 (N=50810)

2-3 minggu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0), berlaku peningkatan ketara kes positif dan kontak rapat yang dilaporkan kepada Taskforce COVID-19 PKU UTM. Peningkatan ini sangat membimbangkan.

Di sinilah signifikannya peranan Pusat Kesihatan Universiti (PKU) Universiti Teknologi Malaysia

Apabila PKU menerima pelaporan kes positif atau kontak rapat, pegawai perubatan akan ditugaskan untuk menyelidik, menyiasat dan menentukan tahap risiko untuk setiap kes.

Pegawai tersebut akan menentukan senarai kontak rapat dan kontak kasual untuk setiap kes. Data-data yang diterima akan dihantar kepada Pejabat Kesihatan Daerah (bergantung kepada tempat tinggal kes indeks dan kontak rapat) untuk tujuan verifikasi dan juga penentuan untuk ujian calitan (swab test). Untuk makluman semua, pengesanan kontak merupakan suatu proses yang sukar dan memerlukan penelitian. Berpuluh panggilan perlu dibuat untuk tujuan siasatan.

Ada yang memberi kerjasama, ada yang tidak endah. Jika pergerakan kes indeks atau kontak rapat itu banyak, maka bertambah luas rantaian pengesanan kontak rapat tersebut.

Apabila diselidiki, kebanyakan kes tercetus disebabkan oleh kegagalan mematuhi SOP, tidak memakai pelitup separuh muka, tiada penjarakan fizikal, program sosial dan banyak lagi. Pemerhatian secara rambang juga mendapati tidak semua yang mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan mengambil mudah ancaman COVID-19.

Bagi kes pelajar kontak rapat dan positif, petugas PKU akan memindahkan pelajar tersebut dengan serta merta ke Pusat Kuarantin di S46 dan S47 untuk tujuan pengasingan sementara menunggu giliran untuk ujian swab oleh pihak PKD. Untuk kes positif, pelajar ini perlu dipindahkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pasir Gudang, Hospital Permai dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) atas arahan KKM.

Untuk tujuan keselamatan, petugas PKU wajib memakai pakaian perlindungan diri (PPE) yang lengkap ketika berurusan dengan pelajar tersebut. Bayangkan mereka terpaksa memakai berlapis PPE di mana untuk proses pemakaian dan penanggalan PPE tersebut mengambil masa 15 minit untuk memastikan petugas betul-betul terlindung dari ancaman virus COVID-19.

PKU juga memantau dengan ketat proses sanitasi yang dilaksanakan di tempat-tempat yang telah dikunjungi oleh kes indeks dan kontak rapat.

Berikutan dengan peningkatan kes positif (Kluster Lingkaran Ilmu) di kalangan pelajar di tiga kolej (KTHO, KDSE & KTDI), pihak KKM telah mengeluarkan arahan Perintah Sekatan Pergerakan Masuk di kolej-kolej tersebut. Tujuan utama arahan ini adalah bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di kawasan tersebut.

Pihak PKU juga telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan perkhidmatan Klinik Bergerak (Mobile Clinic) untuk kemudahan pelajar-pelajar dan staf yang sedang dikuarantin di kolej masing-masing untuk mendapatkan rawatan perubatan tanpa perlu keluar dari kolej.

Klinik Bergerak PKU

PKU juga telah melaksanakan kempen kesedaran ancaman COVID-19 melalui platform media sosial, ceramah-ceramah dalam talian dan lain-lain lagi. Walaupun beribu kempen yang dilaksanakan, jika tiada kesedaran dari diri sendiri, maka tidak berhasillah kempen tersebut.

Oleh kerana keadaan sekarang yang sangat runcing dengan kapasiti kesihatan awam yang sangat tenat, PKU merayu kepada semua pihak supaya patuh kepada semua SOP dengan ketat.

Pakailah pelitup muka ketika berada di tempat awam dan ramai orang, sentiasa sanitasi tangan anda dan amalkanlah penjarakan fizikal. Elakkan berjumpa dengan mereka yang berisiko tinggi.

Janganlah kerana keculasan anda, nyawa yang tersayang melayang begitu sahaja.

Explore More