November 18, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 11 April –   Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah terpilih sebagai institusi pertama yang menggunakan kriteria dan piawaian baharu bagi proses Penilaian Pematuhan Status Swa-Akreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Penilaian ini dijalankan berdasarkan kepada kriteria dan standard yang baharu d imana mengandungi Empat Bidang yang komprehensif berbanding dengan Sembilan Bidang yang digunapakai dalam penilaian terdahulu.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata pengurusan tertinggi UTM dan Senat sentiasa memastikan audit dan akreditasi di bawah status swaakreditasi ini dijalankan dengan telus, berkredibiliti, berintegriti, cekap dan mematuhi Kerangka Kelayakan Malaysis (MQF) dan standard yang berkaitan.

“UTM telah dianugerahkan status swaakreditasi pada 29 Mac 2013.

Dengan status Swa-Akreditasi ini, UTM melalui Pusat Kualiti dan Pengurusan Risiko (QRiM) telah menjalankan hampir 300  akreditasi dan audit yang meliputi akreditasi sementara, akreditasi penuh, audit pematuhan dan audit premis kepada program-program diperingkat kursus asas (foundation), Diploma, Diploma Eksekutif, Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran,” kata beliau.

“Jawatankuasa Akreditasi Universiti (JKAU) yang keahliannya terdiri daripada staf akademik yang berpengalaman dan berkecuali telah ditugaskan untuk membuat penilaian secara komprehensif kepada setiap proses dan laporan audit dan akreditasi yang dijalankan,” katanya lagi.

Prof. Fauzi berkata demikian ketika memberikan ucapan aluan dalam Majlis Penyerahan Sijil Pengekalan Status Swaakreditasi kepada UTM dan program libat sama bersama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) siri ke-2 yang berlangsung di Dewan Alumni, UTM Johor Bahru pagi tadi.

Turut menghadiri majlis adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MQA, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari, Prof. Ts Ir Dr Zainuddin Abdul Manan selaku menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan juga Pengarah QRiM, Prof. Dr Yahaya Md Sam.

Menurut Prof. Fauzi, kejayaan UTM mengekalkan status swakreditasi adalah kelangsungan daripada kejayaan UTM mengekalkan Tier 6 dalam SETARA 2019.

“Kedua-dua kejayaan ini menggambarkan keberkesanan UTM dalam melaksanakan fungsi utama universiti iaitu Pembelajaran dan Pengajaran, Penyelidikan dan Perkhidmatan.

“Kami juga berbangga diatas faktor Kebolehpasaran Graduan atau ‘Graduate Employability’ (GE) di mana walaupun dalam tempoh pandemik COVID-19, kadar GE bagi graduan kami bagi tahun 2020 adalah 92 peratus dan terdapat beberapa program yang mencecah sehingga 100 peratus,” katanya lagi.

Naib Canselor itu juga menyatakan keyakinannya kepada Nilai Utama (Core Values) UTM iaitu Sinergi, Integriti, Kecemerlangan dan Kelastarian (ISES) telah mengupayakan universiti ini untuk terus menjalankan amanah yang diberikan MQA dalam melaksanakan swa-akreditasi dan audit kepada program-program akademiknya dengan lebih berkesan.

Majlis kemudiannya disusuli dengan penyerahan sijil swa-akreditasi UTM oleh Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran kepada Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail dan seterusnya diikuti dengan program libat sama bersama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) siri ke 2 dimana para peserta berpeluang untuk menyertai sesi soal jawab berkaitan dengan informasi terkini dan proses permohonan serta penilaian yang akan dijawab secara terus oleh dua orang ‘penting’ agensi itu.

Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail (hadapan kiri menerima sijil Swa-Akreditasi untuk UTM dari Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran di majlis ringkas yang berlangsung di Dewan Alumni, UTM Johor Bahru pagi tadi.

Explore More