Disember 22, 2024

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) komited dalam usaha memakmur dan mensejahtera komuniti melalui jalinan kerjasama rakan strategik seiring dengan Wawasan Kemakmuran Negara 2030. Justeru, kerjasama bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri merupakan langkah penting bagi merealisasikan aspirasi ini.

Dalam siri lawatan kerja Pengerusi Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, YB Tuan Haji Ayub bin Jamil ke Kebun Komuniti Iskandar Puteri: Pangsapuri Kenari A1 bersama Datuk Bandar MBIP, YB Dato’ Haji Mohd Haffiz bin Haji Ahmad pada 7 Mac 2021,

UTM berperanan menyumbang kepakaran dalam pembangunan Kebun Komuniti Iskandar Puteri. Prof. Dr. Fatin Aliah Phang, Pengerusi Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan mewakili pihak UTM dalam siri lawatan ini.

Komuniti di Pangsapuri Kenari A1, Kangkar Pulai yang juga merupakan penerima tempat kedua bagi Anugerah Kejiranan Hijau 2020 anjuran Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan telah memulakan aktiviti pembangunan komuniti sejak tahun 2018.

Melihat usaha proaktif komuniti di Kenari, YB Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor dan YB Datuk Bandar MBIP berbesar hati memberikan penghargaan melalui Pemberian Sumbangan Tabung Covid-19 dan Wakaf Komuniti serta Peralatan Lengkap Pengkomposan kepada Komuniti Pangsapuri Kenari A1, Kangkar Pulai.

Bersempena majlis ini, pihak Komuniti Kenari turut mendapat peruntukan tambahan daripada Inisiatif PENJANA yang diselia oleh Jabatan Pertanian Johor Bahru.

Projek Kebun Komuniti Iskandar Puteri ini dijalankan dengan diketuai oleh Jabatan Perancangan Pembangunan dan dibantu Jabatan Landskap, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri. Menurut Pegawai Perancang Bandar dan Desa, MBIP, En. Safwan Shaari, projek ini dijalankan bagi menfokuskan kepada kesedaran dalam Gaya Hidup Bebas Sisa di kalangan penduduk dalam mendepani masalah pemanasan global.

Beliau yang juga merupakan Alumni UTM yakin akan keupayaan komuniti Kenari dalam membentuk persekitaran proaktif dan mampan seterusnya menjadi Komuniti Rendah Karbon Iskandar Puteri yang menjadi contoh kepada komuniti lain. Usaha ini merupakan usaha MBIP dalam merealisasikan Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon 2025.

Puan Ruhaidah Aris yang merupakan setiausaha Komuniti di Pangsapuri Kenari menjelaskan kejayaan pihak komuniti ini adalah disebabkan usaha bersama komuniti sejak awal lagi- dan tidak terhad kepada jawatankuasa komuniti kenari sahaja. Telah menjadi budaya bagi penduduk di kenari untuk turun di petang hari untuk mengusahakan kebun komuniti dari pelbagai peringkat umur samaada kanak-kanak mahupun orang dewasa.


Menurut Dr. Nur Husna Binti Abd. Wahid, Pakar Kebun memaklumkan bahawa sektor pertanian dalam pembangunan komuniti adalah penting dalam usaha meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri sebahagian daripada bekalan makanan yang diperlukan. Beliau yang juga merupakan pensyarah di Sekolah Pendidikan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan percaya pengintegrasian teknologi dalam pembangunan kebun adalah penting bagi memastikan kemampanan kebun komuniti untuk jangka masa yang panjang.

Selain itu, Dr Huszalina Hussin yang juga merupakan pakar kaedah pertanian sisa kompos menjelaskan keperluan untuk mengetahui teknik penanaman yang tepat bagi memastikan kelangsungan kebun untuk jangka masa yang panjang. Menurut Prof. Dr. Fatin Aliah Phang usaha bersepadu antara akademia, komuniti dan juga pihak berkuasa tempatan ini merupakan usaha terbaik dalam memastikan matlamat tindakan iklim, Matlamat Pembangunan Mampan atau lebih dikenali sebagai Sustainable Development Goals dapat dicapai pada tahun 2030.

Beliau yang juga merupakan penerima Okayama Educational Sustainable Development 2018, percaya usaha memperkasa komuniti melalui suntikan elemen pendidikan memerlukan sokongan penuh dari semua pihak. Majlis penyerahan ini turut dibantu oleh Dr. Nornazira Suhairom dan Dr Shahahrudin Salleh dari Sekolah Pendidikan, FSSH UTM.

Oleh Dr. Nina Diana Nawi, Sekolah Pendidikan FSSH UTM. Gambar oleh Pihak MBIP

Explore More