Disember 25, 2024

JOHOR BAHRU, 4 Mac — Pasangan alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Muhamad Syafik Rahmat dan Nur Idayu Alimon mengabadikan memori perkenalan dan percintaan sepanjang di UTM dengan menjadikan nombor plat UTM sebagai hantaran perkahwinan. 

Alumni jurusan Sains Komputer (Rangkaian & Keselamatan Komputer), Fakulti Kejuruteraan serta jurusan Doktor Falsafah Sains Matematik, Fakulti Sains tersebut menggunakan nombor plat UTM 4321 sempena tarikh perkahwinan mereka iaitu 4 Mac 2021 selain menganggap nombor tersebut amat unik.

Nombor plat yang dijadikan hantaran

“Kenangan di UTM adalah amat istimewa kerana di sinilah kami berkenalan, mengenali hati budi masing-masing sehingga ke jinjang pelamin. 

Selain itu, ia juga secara tidak  langsung menyumbang kepada Tabung Endowmen UTM untuk membantu lebih ramai lagi pelajar yang memerlukan. 

Bantuan dari tabung ini amat bermakna kerana Idayu juga merupakan salah seorang penerima biasiswa Tabung Endowmen jadi kami bercadang untuk memberi semula kepada UTM,” kata beliau.

Menurutnya mereka mula kenal pada tahun 2017 semasa sama-sama belajar di UTM dan sama-sama aktif sebagai pemimpin dalam aktiviti dan persatuan pelajar.

Syafik kini bertugas sebagai Penolong Pendaftar di Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) manakala Idayu baru sahaja selesai menduduki Peperiksaan Lisan (Viva-Voce) PhD beliau. 

Idayu merupakan pelajar di bawah seliaan pensyarah Fakulti Sains, Prof. Dr. Nor Haniza Sarmin.

Explore More