November 25, 2024

Search
Close this search box.

NC lancar Tabung Ihya Ramadan 1442 UTMKL Bertujuan Imarahkan Bulan Ramadan

KUALA LUMPUR, 12 Mac –  Majlis pelancaran Tabung Ihya Ramadan 1442 telah berlangsung dengan jayanya di Masjid Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Kuala Lumpur (UTMKL).

Perasmian telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail di masjid itu selepas solat zohor.

Penolong Pengarah Pusat Islam UTM kampus Kuala Lumpur, Dr Muhamad Fathi Yusof berkata tujuan tabung ini diwujudkan adalah bagi pengumpulan dana dari orang awam dan korporat bagi pembiayaan program-program pengimarahan bulan Ramadan yang dianjurkan oleh Masjid dan Pusat Islam UTMKL.

“Program yang bakal dilaksanakan adalah berbentuk kebajikan, pendidikan dan dakwah. Antaranya ialah program Tadarus Al-Quran, penyediaan juadah berbuka puasa untuk pelajar, jemaah masjid dan orang awam, kuliah-kuliah pengajian, tazkirah dan sambutan Nuzul Al-Quran.

“Hasil sumbangan juga akan digunakan untuk penyampaian sumbangan kepada mereka yang dalam kesempitan dari kalangan staf, rumah anak yatim, sekolah tahfiz berdekatan dan komuniti miskin bandar,” kata beliau.

Dr Muhamad Fathi Yusof berkata Pusat Islam UTMKL pada tahun-tahun sebelumnya telah dapat mengumpulkan sekitar RM200,000.00 untuk perbelanjaan bulan Ramadan.

“Walaupun dijangka terdapat peraturan yang agak ketat bagi pengajuran majlis iftar dan kuliah-kuliah pada tahun ini, kami tetap memerlukan jumlah yang besar untuk diagihkan kepada golongan yang yang memerlukan supaya mereka dapat menikmati Ramadan dengan baik bersama keluarga yang dikasihi,” katanya lagi.

Beliau turut menyatakan betapa pihak Pusat Islam UTMKL amat menghargai dan mengharapkan staf UTM dan masyarakat seluruhnya sudi berkongsi kasih dengan mereka yang kurang bernasib baik dengan menghulurkan sumbangan kepada tabung ini.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin dan Penolong Pengarah Pusat Islam UTMKL, Dr Muhammad Fathi Yusof.

Para penyumbang boleh memberikan sumbangan untuk Tabung Ihya’ Ramadan Masjid UTMKL samada secara terus ke tabung yang disediakan atau boleh melalui cara mudah dengan cara klik pada pautan ini: https://toyyibpay.com/tabung-ihya-ramadhan-2021.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Bendahari Masjid UTMKL Puan Suhanim di talian 0322031607 / 0133909860 atau emel suhanim.kl@utm.my

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail (tengah) memasukkan wang sumbangan ke dalam Tabung Ihya Ramadan 1442H sebagai simbolik pelancaran tabung itu di majlis pelancaran yang berlangsung di Masjid UTM Kuala Lumpur. Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin (kiri) dan juga Penolong Pengarah Pusat Islam UTMKL, Dr Muhammad Fathi Yusof (kanan).

Explore More