Disember 26, 2024

JOHOR BAHRU, 21 Jan – Mempertahankan status sebagai Universiti Penyelidikan (RU) bukan sebagai pilihan tetapi menjadi satu kewajipan yang terletak di bahu setiap individu yang berkhidmat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Status RU yang diperolehi UTM sejak tahun 2010 itu adalah amanah, maruah dan perjuangan yang seharusnya diterapkan di jiwa dan sanubari setiap insan yang bergelar warga Universiti Teknologi Malaysia.

Naib Canselor, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail dalam sesi ucapannya berkata status RU adalah amanah yang seharusnya digenggam erat oleh setiap warga UTM yang dipertanggungjawabkan untuk mengekalkannya.

“Status ini juga adalah maruah dan perjuangan bagi setiap insan yang berkhidmat di institusi ini kerana status ini banyak mempengaruhi kedudukan universiti kita di peringkat antarabangsa.

“Universiti Penyelidikan ini juga adalah satu perjuangan kita bagi membantu institusi ini dalam meneruskan cogankata keramat iaitu ‘Kerana Tuhan Untuk Manusia’ yang telah dipelopori hampir 40 tahun lamanya,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sulungnya sejak dilantik sebagai Naib Canselor UTM pada 1 Januari 2021 lalu.  Prof. Fauzi dilantik bagi menggantikan penyandang sebelumnya, Prof. Datuk Ir Dr Wahid Omar yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Ogos 2020 yang lalu.

Ucapan itu dibuat melalui kaedah dalam talian (online) dan dirakam di Pusat Kepimpinan Akademik UTM (UTMLead) petang tadi serta disiarkan dalam laman sosial facebook di bawah nama ‘UTM Community’

Mengulas mengenai fokus tahun baharu, Prof. Fauzi menggariskan lima perkara utama yang menjadi keutamaan baginya dan juga warga UTM bagi tahun 2021 iaitu Pengurusan Personel (People Management), Penginstitusian (Institutionalize), Pengukuhan Impak Penyelidikan, Urustadbir yang baik (Good Governance) dan juga Sistem Penyampaian Berprestasi Tinggi (High Performance Delivery).

“Dalam aspek pengukuhan impak penyelidikan, warga penyelidik dan juga universiti harus tahu bahawa gaji dan juga emolumen penyelidikan mereka dibayar oleh pembayar cukai yang terdiri dari pelbagai lapisan rakyat Malaysia.

“Oleh yang demikian, setiap pulangan dari hasil penemuan penyelidikan dan juga universiti haruslah dipulangkan semula kepada masyarakat supaya dapat dimanfaatkan oleh komuniti setempat dan negara secara amnya,” katanya.

Menyentuh mengenai Urustadbir universiti pula, Prof. Fauzi mahukan supaya warga kerja UTM lebih bersifat telus dan lebih bertanggungjawap dalam mengurus tugas masing-masing.

“Warga UTM juga seharusnya bersifat lebih responsif dalam menangani sebarang permasalahan yang timbul serta lebih cekap dalam melaksanakan penugasan harian.

“Aspek pengurusan personel juga akan kita titikberatkan dalam tahun 2021 dan juga seterusnya dengan meletakkan keutamaan kepada dua aset terpenting kita iaitu kakitangan dan juga pelajar,” katanya lagi.

Prof. Fauzi berkata aspek pengurusan personel ini adalah penting supaya kedua-dua aset ini mendapat pertimbangan yang sewajarnya dalam aspek-aspek tertentu seperti kebajikan, kemajuan kerjaya ataupun sebagainya.

Prof. Ts Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail ketika sedang menyampaikan ucapan dalam sesi Majlis Amanat Naib Canselor UTM 2021 yang dirakam secara terus di UTMLead. Siaran ini kemudiannya disiarkan melalui laman sosial Facebook yang boleh ditonton oleh staf di kampus Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Pagoh.
Kakitangan teknikal UTMLead sedang mengawasi mutu rakaman sepanjang program Majlis Amanat Naib Canselor UTM 2021 sedang berlangsung petang tadi.

Explore More