Disember 22, 2024

Kelab E-Sports & Kelab Sains, Inovasi dan Teknologi Sukan Bernaung di Bawah SITC iHumEn Untuk Kelangsungan Program Sukan 4.0 UTM

KELAB E-SPORTS UTM DAN KELAB SAINS, INOVASI DAN TEKNOLOGI SUKAN BERNAUNG DI BAWAH PUSAT INOVASI DAN TEKNOLOGI SUKAN UTM (SITC IHUMEN) BAGI MENJALANKAN PROGRAM SUKAN 4.0 UNTUK KELANGSUNGAN PERANAN DAN FUNGSI KELAB PELAJAR

PUSAT INOVASI DAN TEKNOLOGI SUKAN UTM

Pada 2018 yang lalu, sejarah telah tercipta di mana buat pertama kali kelab E- Sukan UTM  dan Kelab Sains, Inovasi dan Teknologi Sukan UTM telah berjaya ditubuhkan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ini adalah kali yang pertama kedua-dua kelab UTM bernaung di bawah pusat penyelidikan. Kebiasaannya kelab yang tertubuh adalah di bawah fakulti, Sekolah dan Kolej. Namun begitu kelab E- Sukan UTM dan Kelab Sains, Inovasi dan Teknologi Sukan pertama kali bernaung di bawah pusat penyelidikan iaitu SITC UTM. Ia adalah satu penanda aras yang baru bagi sebuah kelab yang berfungsi di bawah pusat penyelidikan.

Walaubagaimanapun penubuhan kedua-dua kelab pelajar ini mempunyai fungsi dan keperluan tertentu bagi menjalankan program yang berkaitan dengan bidang tugas masing masing.  SITC UTM  adalah merupakan penasihat yang tepat bagi kelab ini kerana mempunyai pakar penyelidik yang berwibawa dan spesifik kepada sukan tersebut.

SEJARAH KELAB E-SUKAN UTM DAN KELAB SAINS, INOVASI DAN TEKNOLOGI SUKAN UTM

Penubuhan kelab ESC UTM adalah atas  kesinambungan pengumunan Menteri Belia dan Sukan yang ingin memberi tumpuan terhadap sukan E-Sukan. Dengan jumlah dana peruntukan yang tinggi disalurkan kepada kelab kelab E -Sukan di Malaysia, maka pelbagai pertandingan E-sukan yang telah dianjurkan di peringkat kebangsaan dan negeri.

Jadi atas keperluan itu, maka satu mesyuarat telah dijalankan bagi menubuhkan kelab E-Sukan di UTM. Penubuhan kelab ini terbukti berjaya menjalankan pelbagai program dan pertandingan peringkat universiti dan kebangsaan. Malahan pihak UTM Sports Excellence telah meminta kelab E- Sukan UTM untuk melakukan pemilihan pemain E-Sukan UTM bagi mewakili UTM di peringkat pertandingan MASUM iaitu sukan peringkat Universiti. Pengurus pasukan Masum E-Sukan telah dilantik di kalangan ahli kelab ESC UTM. Kini terbukti ESC UTM telah berjaya melakukan tugas dengan cemerlang dalam memastikan kelangsungan E-Sukan UTM.

Seterusnya penubuhan kelab Sains, Inovasi dan Teknologi Sukan UTM juga adalah merupakan sejarah pertama bagi UTM kerana setelah penubuhan UTM sejak dari dulu lagi dan kewujudan Kos Pendidikan Sains Sukan di UTM, namun begitu masih belum ada kelab pelajar sains sukan yang berjaya ditubuhkan.

Maka SITC UTM juga terdiri daripada alumni sains sukan UTM, telah mengambil inisiatif dan tanggungjawab untuk mewujudkan kelab pelajar yang pertama terhadap sains sukan. Penubuhan Kelab Sains, Inovasi dan Teknologi Sukan ini menjadikan Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan UTM sebagai panduan dalam perkembangan IR 4.0 di mana telah menjadikan inovasi dan teknologi sukan sebagai asas kepada penubuhan pusat.

Oleh itu, penubuhan kelab KSITS meneruskan kesinambungan kepentingan Industri 4.0 dimana menghubungkan sains sukan dan teknologi sukan dalam penubuhan kelab. Semoga Sukan 4.0 terus berdaya saing dan berkembang maju di Malaysia.

RAHMAT PKP

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ataupun lebih dikenalli sebagai PKP sememangnya memberi impak kepada semua warganegara Malaysia. Perniagaan terjejas, pergerakan terbatas dan sistem pembelajaran secara dalam talian juga diterapkan. Oleh itu warga Kelab Esukan UTM (ESC UTM) memandang situasi ini sebagai satu peluang untuk melatih diri menjadi seorang yang lebih fleksibel dalam menghadapi apa jua masalah.

Pelbagai aktiviti dan program yang telah dilakukan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan. Program yang melibatkan masyarakat dan program bersama ahli kelab tidak dilupakan. Antara program yang telah dijalankan sepanjang PKP berlangsung ialah ESC Play, Streaming Workshop, ESC Video Review, pertandingan poster dan pelbagai lagi.

Kelab E-Sukan UTM ialah sebuah kelab yang baru ditubuhkan. Ditubuhkan pada bulan Ogos 2019, pelbagai cabaran yang telah dlalui dan juga pelbagai kejayaan telah dikecapi. Pada tahun pertama penubuhan, kelab telah menerima 400 orang ahli yang berdaftar di bawah Kelab Esukan UTM. ESC UTM juga pernah berjaya mewakili Malaysia untuk Kejohanan Valorant pada penghujung tahun 2020.

ESC PLAY!

ESC Play! merupakan pertandingan Esport yang mempertandingkan permainan video Mobile Legends Bang Bang dan PUBG Mobile. Tiada yuran penyertaan dikenakan untuk pertandingan ini kerana objektif utama pertandingan adalah untuk berinteraksi dengan mahasiswa UTM yang berada di seluruh pelusuk negara. ESC Play! merupakan program online pertama yang dijalankan, di sinilah bermulanya mesyuarat pada waktu malam menggunakan Discord sebagai medium untuk berbincang.

Pasukan-pasukan yang hebat menyertai ESC Play! walaupun hadiah yang dijanjikan tidaklah terlalu gah, tetapi konsep yang diterapkan iaitu untuk kekal berinteraksi sekaligus membantu mahasiswa membendung kebosanan ketika berada di rumah dan berjaya menarik minat ramai peserta. Sokongan yang ditunjukkan oleh semua peserta juga sangat menggalakkan. Dalam pertandingan tersebut, 8 pasukan untuk setiap game bermaksud lebih kurang 100 orang mahasiswa UTM beradu tenaga untuk merebut gelaran juara.

GAMBAR 1 : KEJOHANAN ONLINE ESC PLAY

VIRTUAL STREAMING WORKSHOP

Pada 19 Disember 2020, kami juga telah berjaya menjalankan sebuah bengkel berkaitan dengan dunia penstriman yang diberi nama Virtual Streaming Workshop. Kami menjemput Ganba.x, seorang streamer terkenal untuk berkongsi sedikit sebanyak ilmu berkenaan dengan penstriman video dan dalam masa yang sama, bercerita mengenai pengalaman beliau semenjak beliau mula melakukan strim. Ganba.x yang juga merupakan seorang arkitek, telah menarik minat ramai peserta untuk menghadari sesi ini. Semua berjalan dengan sangat baik dan para peserta sangat berpuas hati.

Disini juga, keupayaan kami diuji kerana untuk program ini, banyak paparan skrin yang perlu dibuat daripada pihak ESC sendiri melalui medium Webex. Jadi, banyak persediaan yang perlu dilakukan seperti memastikan talian internet laju dan berfungsi dengan baik, semua aturcara mengikut garis masa yang telah dirancang dan juga kelancaran kami bekerja sebagai satu kumpulan. Sejujurnya, program ini banyak mengajar kami erti tidak berputus asa dan kami berpegang kepada kata-kata “Pasti akan berjaya, mereka yang berusaha”.

GAMBAR 2: VIRTUAL STREAMING WORKSHOP UTM

PROGRAM YANG DIJALANKAN KSITS UTM SEPANJANG PKP

Sejak perintah kawalan pergerakkan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020, ahli jawatankuasa kelab KSITS giat merancang sesuatu yang dapat memberikan manafaat untuk mahasiswa UTM dalam menjalani gaya hidup sihat dengan aktiviti fizikal yang juga merupakan sebuah tuntutan dalam memastikan kelestarian hidup yang cergas dan cerdas. Sehubungan dengan itu, kata putus yang telah dicapai serta dipersetujui oleh penasihat dan ahli jawatankuasa kelab ialah mengadakan Room Workout Challenge pada 1 hingga 20 Mei 2020.

Program anjuran KSITS yang pertama kalinya dijalankan di dalam talian ini mendapat sambutan dengan penglibatan pelajar melebihi 20 orang. Program ini berunsurkan aktiviti fizikal yang boleh dilakukan walaupun pelajar berada di dalam bilik kediaman masing-masing.

Program ini dapat menarik minat pelajar kerana temanya yang mudah untuk diikuti dan aktiviti yang perlu dilakukan bukanlah gerakan fizikal yang memerlukan peralatan seperti di dalam gymnasium. Walhal, aktiviti yang perlu dilakukan hanyalah gerakan fizikal yang mengikut kreativiti masing-masing dan hanya menggunakan prinsip latihan berat badan body weight training.

Penganjuran program ini sekaligus dapat memberikan gambaran bahawa kerjasama di antara ahli jawatankuasa kelab dan penasihat amatlah erat dan kesemuanya mudah untuk bekerja di dalam sebuah pasukan. Walaupun tanpa bantuan tajaan, program ini dapat dijalankan dengan baik melalui kutipan yuran penyertaan pertandingan.

GAMBAR 3 : ROOM WORKOUT CHALLENGE OLEH KSITS UTM

Pada penggal pertama bagi sesi 2020/2021 KSITS sekali lagi telah berjaya mengadakan sebuah program atas talian yang kedua sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakkan (PKP) dengan menganjurkan UTM Virtual Skipping Challenge. Penganjuran program ini merupakan idea asal yang diambil daripada influencer masakan di media sosial iaitu “khairulaming” yang sedang bergiat aktif menurunkan berat badan dengan aktiviti skipping serta penjagaan pengambilan makanan yang sihat.

Tujuan asal program ini adalah untuk meringankan bebanan tugas serta pembelajaran atas talian yang sedang melanda pelajar IPT terutamanya pelajar UTM, sekaligus mempromosikan kelab KSITS kepada warga UTM. Hal ini demikian kerana, mengikut kajian yang telah dijalankan oleh Vaux 1926, mendapati bahawa aktiviti fizikal dapat merangsang system saraf sekaligus mendatangkan mood kegembiraan kepada si pelakunya. Sehubungan dengan itu, KSITS mengambil inisiatif melaksanakan program ini bagi memastikan mahasiswa UTM kekal aktif walaupun dalam fasa PKP dan pembelajaran atas talian.

Penglibatan pelajar secara keseluruhannya menunjukkan impak positif dengan rata-rata pelajar berminat menyertai program KSITS dengan adanya video montaj yang mempromosikan UTM Virtual Skipping Challenge serta meletakkan ikon-ikon sukan UTM sebagai duta Kelab Sains, Inovasi dan Teknologi Sukan sekaligus merancakkan lagi pertambahan ahli kelab.  

GAMBAR 4 : UTM VIRTUAL SKIPPING CHALLENGE

PENUTUP

Melalui pelbagai aktiviti dan program yang telah dijalankan oleh kedua-dua kelab ini, ternyata bahawasanya mahasiswa antara kedua-dua kelab persatuan ini menjalinkan hubungan kerjasama yang erat dan utuh dalam membentuk wadah pemangkin insan yang mendatangkan pelbagai manafaat kepada setiap lapisan masyarakat terutamanya golongan mahasiswa.

Dengan sokongan dan nasihat penuh daripada pihak SITC terutamanya Ts. Dr Hadafi Fitri Mohd Latip dan Dr Adjah Naqiah yang merupakan penasihat kelab KSITS UTM, segala perancangan dan pelan kerja aktiviti dapat diatur serta diuruskan oleh wakil pelajar yang terlibat dengan baik.

Dalam merealisasikan kepentingan IR 4.0 di Malaysia, SITC sebagai wakil dari UTM akan memastikan dua buah kelab di bawah naungannya iaitu E-Sports UTM dan KSITS akan menerajui kecemerlangan sukan yang berlandaskan inovasi dan teknologi untuk mendapat perhatian di peringkat yang lebih tinggi khususnya perhatian daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang diterajui oleh YB Khairy Jamaluddin terhadap kewujudan aktiviti dan program teknologi sukan.

Justeru, setiap langkah yang dimulakan oleh mahasiswa pada hari ini akan terus memacu kecemerlangan modal insan sekiranya mendapat sokongan penuh daripada setiap pihak.

Bak kata pepatah melayu, terendam sama basah, terampai sama kering. Jadikan hari ini sebagai asbab bermulanya langkah murni di antara mahasiswa dan pentabir dalam memacu kecemerlangan DNA UTM.

APENDIKS

  1. UTM: Universiti Teknologi Malaysia
  2. KSITS: Kelab Sains Inovasi Teknologi Sukan
  3. ESC: E- Sports Club
  4. IR 4.0: Industrial Revolution 4.0
  5. PKP: Perintah Kawalan Pergerakkan
  6. SITC: Sports Innovation and Technology Centre
  7. IHUMEN : Institute Human Centred Engineering

YANG MENJALANKAN AMANAH

Penulis Bersama

Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip

(Timbalan Pengarah SITC UTM)

Muhammad Daniel Bin Faizal

(Presiden kelab ESC – SITC IHUMEN UTM)

Muhammad Nurhakim Bin Yacob

(Presiden kelab KSITS – SITC IHUMEN UTM)

Explore More