JOHOR BAHRU, 14 Dis – Satu Memorandum Kerjasama (MoU) telah ditandatangani bagi membolehkan kerjasama strategik dijalinkan antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Edess Education Development and Solutions Specialist Sdn Bhd (EDESS) bagi membangunkan sebuah aplikasi pengajaran dan pembelajaran (PnP) digital.
Aplikasi yang dinamakan ALBAYEN ini direka untuk menyokong aktiviti PnP di sekolah-sekolah agama bagi merealisasikan kemanjadian murid dan memupuk kemahiran pembelajaran abad ke-21.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata kerjasama dengan Edess ini adalah satu kerjasama strategik di mana objektifnya adalah untuk memberikan penekanan terhadap kualiti PnP dan penyelidikan akademik.
“Melalui kerjasama ini, kita dapat menyediakan penyelesaian masalah yang terkini termasuk pengurusan pendidikan, pembangunan profesional dan aplikasi teknologi pendidikan.
“Usaha ini boleh dicapai melalui perlaksanaan dan pembangunan pembelajaran digital dengan penggunaan aplikasi sistem sokongan PnP Albayen yang telah dibangunkan oleh kedua belah pihak,” katanya yang juga menjalankan fungsi Naib Canselor UTM.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya sebelum menandatangani MoU berkenaan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI), kampus Johor Bahru.
Turut hadir adalah Pengarah Institut Ibnu Sina, Prof. Dr. Hadi Nur dan Pengarah Pusat Penyelidikan Sains Fiqh dan Teknologi (CFiRST), Prof. Dr. Farahwahida Mohd Yusof. Memorandum itu ditandatangani oleh Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail mewakili UTM sementara Edess pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amine Abdelhedi.
Selain berfungsi sebagai sokongan dan penyelesaian kepada proses PnP digital di peringkat sekolah rendah dan menengah, aplikasi ALBAYEN ini juga berkemampuan untuk menghasilkan pembelajaran yang holistik dan seimbang.
“Aplikasi ini berkemampuan untuk memantau perlaksanaan pembelajaran digital, menyediakan sumber pembelajaran digital dan menyediakan latihan dan kursus bagi pembangunan profesional seterusnya memartabatkan institusi pendidikan di Malaysia,” katanya lagi.
UTM memainkan peranan utama dalam aspek pendidikan, penyelidikan dan pembangunan, perundingan dan inovasi yang melibatkan kumpulan perunding dan penyelidik universiti dalam pelbagai bidang.
“Pelbagai unit, jabatan dan entiti kerajaan Johor mendapat faedah dari kerjasama ini. Projek perundingan, inovasi dan penyelidikan dan pembangunan ini juga merangkumi pelbagai bidang seperti alam sekitar, masalah sosial, tadbir urus, tanah dan harta tanah, kemudahan awam, agama, pendidikan, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, ”ujar Prof Fauzi.