Disediakan oleh : Mohamad Redha bin Md Dali dan Muhammad Fahmi bin Mohd Nurji
JOHOR BAHRU, 21 Sept. – Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia tidak menghalang sekumpulan mahasiswa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk menjalankan program khidmat komuniti berkonsepkan pelestarian secara dalam talian.
Program cabaran memasak dalam talian yang dinamakan ‘3R Cooking Challenge’ telah dicetuskan oleh 28 orang mahasiswa dari Kursus Budi Penyayang, Pusat Akademik dan Pengalaman Pembelajaran (CAEL), UTM yang berlangsung pada 2 hingga 27 Jun 2020.
Program cabaran memasak ini dijalankan dengan berpandukan konsep asas dalam amalan kitar semula iaitu Reduce (menghadkan jumlah penghasilan sisa), Reuse (menggunakan bahan-bahan terpakai) dan Recycle (mencipta bahan baharu daripada bahan-bahan terpakai).
Pengarah program, Nor Aida Jamal Fadzalah berkata cabaran ini diadakan bertujuan untuk mendidik masyarakat berkaitan amalan 3R yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Selain menyokong inisiatif pelestarian Universiti iaitu ke arah Komuniti Sifar Sisa (Zero Waste Community), program ini juga dapat mencungkil bakat kreatif rakyat Malaysia dalam mempromosikan agenda pelestarian global dengan cara yang kreatif dan luar dari kebiasaan.
“Seramai 32 peserta telah menyertai cabaran ini yang memerlukan peserta memuat naik video berdurasi satu minit di aplikasi TikTok dan memberi penekanan sekurang-kurangnya satu elemen 3R dalam video masakannya,” katanya semasa mengulas mengenai program itu.
Sementara itu, Pengurus Akademik Kursus Umum, Pusat Akademik dan Pengalaman Pembelajaran (CAEL) UTM, Prof. Madya Dr. Nor Fadila Amin berkata program cabaran memasak sebegini bukan sahaja dapat membantu usaha memulihara alam sekitar, malah dapat membantu komuniti di seluruh Malaysia dalam saat getir menghadapi cabaran ekonomi terkini iaitu sesuai dengan matlamat ‘Universiti untuk Komuniti’.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup & Pengumuman Pemenang ‘3R Cooking Challenge’ yang berlangsung secara atas talian di laman Facebook rasmi UTM Sustainable Campus yang juga turut memberikan sokongan terhadap program ini.
Nurin Izzati Imanina Najohan berjaya menjuarai kategori A (17 tahun ke bawah) manakala Nor Asyraf Haikal Nor Azam pula telah memenangi tempat pertama bagi Kategori B (18 hingga 35 tahun) dalam pertandingan cabaran ini. Mereka berdua turut menerima hadiah wang tunai sebanyak RM400.00 dan sebuah trofi.
Mengulas mengenai kemenangannya itu, Nor Asyraf berkata ini adalah satu pengalaman baru baginya dalam menerapkan elemen 3R dalam memasak makanan.
“Ini merupakan pengalaman baru bagi saya untuk memasak sambil menerapkan elemen 3R dan saya merasakan cabaran ini amatlah wajar bagi mengurangkan sisa sampah yang dihasilkan sekaligus dapat menjaga alam sekitar,” katanya.
Majlis yang mendapat 352 perkongsian dan 5 ribu tontotan itu turut diselitkan dengan aktiviti kebajikan ‘1 Share, 1 Ringgit’ di mana setiap perkongsian video siaran langsung oleh orang awam bagi majlis ini akan disumbangkan kepada Persatuan Pengkasihan Haiwan Terbiar Johor Bahru, Wira Kasseh untuk membiayai aktiviti kebajikan haiwan terbiar sekitar Skudai, Johor.
Ucapan Perasmian Penutup oleh Prof. Madya Dr. Nor Fadila Amin, Pengurus Akademik Kursus Umum, Pusat Akademik dan Pengalaman Pembelajaran (CAEL) UTM