November 22, 2024

Search
Close this search box.

Pada 17 hingga 19 Ogos 2020, sebuah simposium telah diadakan di Hotel Stellar, Putrajaya dengan kerjasama antara Pusat Pelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air (IPASA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Newcastle University Medicine Malaysia (NUMED) di bawah satu geran penyelidikan tajaan Newton-Ungku Omar bersama Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) dan British Council. Simposium ini dijalankan secara gabungan di atas talian bagi peserta di luar negara dan secara fizikal bagi peserta tempatan.

Geran penyelidikan ini diketuai oleh Prof. Dr. Zainura Zainon dari IPASA, UTM yang dianggotai oleh Prof. Dr. Azmi Aris, Prof. Dr. Mohd Razman Salim, Dr. Salmiati, Dr. Yong Ee Ling, Dr. Juhaizah Talib @ Harun dan Dr. Nor Azimah Mohd Zain bersama kumpulan dari Newcastle University, United Kingdom yang diketuai oleh Prof. David W Graham dan dianggotai oleh Dr. Jeyanthy Eswaran serta Dr. Michaela Louise Goodson.

Tujuan simposium ini diadakan ialah untuk membentangkan hasil dapatan dari kajian terhadap loji rawatan sisa air (WWTP) dengan kerjasama Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK). Beberapa WWTP telah dipilih sebagai tapak kajian dan sampel air dari loji rawatan telah diambil bagi tujuan analisis untuk mengetahui tahap kecekapan sistem rawatan sisa air serta implikasi kualiti air kepada kesihatan masyarakat setempat. Pendekatan bersepadu ini diharapkan dapat membantu meningkatkan lagi kualiti air yang sememangnya menjadi keutamaan Kementerian Alam Sekitar dan Air, Malaysia (KASA). 

Antara objektif kajian ini ialah memperkukuhkan hubungan antara UTM, NUMED dan rakan industri seperti IWK dan juga KASA. Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk membina kapasiti penyelidikan di UTM dan NUMED bagi pemantauan kesihatan masyarakat berdasarkan kajian ke atas kualiti air setempat.

Melalui kajian ini juga, peranan WWTP dalam menjaga kualiti air di luar bandar dapat dikaji dari aspek tahap pendedahan kepada penyakit berjangkit di mana ianya sebahagian daripada strategi ‘One Health’ untuk meningkatkan kesihatan di seluruh Malaysia.

Disamping itu, seramai tiga orang penceramah jemputan turut bersama dalam simposium ini iaitu Ir. Taufik dari Indah Water Konsortium Sdn. Bhd., Dr. Bae Sung Woo dari National University Singapore, dan Dr. Adhi Yuniarto dari Institut Teknologi Sepuluh Nopember untuk berkongsi pengetahuan berkaitan dengan WWTP.

Turut hadir ke simposium ini juga ialah Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, yang mewakili KASA sebagai panel bagi forum yang diadakan pada hari kedua bersama Prof. David W Graham sebagai panel lain dan  Prof. Dr. Azmi Aris sebagai moderator.

Simposium ini berjalan dengan jayanya hasil kerjasama dari semua pihak termasuk pegawai penyelidik, post-doctoral dan pensyarah dari IPASA. Diharapkan hasil dapatan daripada simposium ini dapat membantu kerajaan dan pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan isu alam sekitar khususnya loji rawatan sisa air ini menjadi lebih maju di masa hadapan dengan adanya teknologi-teknologi terkini.

  

 

 

 

 

 

 

 

 

   

 

 

 

Explore More