Disember 27, 2024

JOHOR BAHRU, 11 Ogos – Kakitangan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) digesa untuk menerapkan budaya kerja yang berpaksikan data selaras dengan perkembangan teknologi maklumat di sektor awam Malaysia.

Pentadbiran dengan berpaksikan data ini adalah kritikal kerana setiap keputusan penting pengurusan universiti mestilah dibuat berdasarkan data yang ada supaya setiap polisi yang dirangka untuk dilaksanakan tidak memberikan implikasi yang buruk.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr Wahid bin Omar berkata kakitangan universiti seharusnya mempunyai kemahiran untuk menyimpan data-data penting supaya segala maklumat itu dapat digunakan dalam merangka polisi semasa pentadbiran universiti.

“Banyak keputusan penting dalam pengurusan universiti tidak dapat dibuat dengan berkesan ataupun lambat untuk dilaksanakan akibat dari ketidakcekapan staf dalam mengendalikan pengurusan data kita.

Staf diingatkan supaya tidak hanya fokus kepada tugasan secara rutin sahaja tetapi perlu juga untuk meningkatkan kemahiran dalam penyimpanan data yang lebih efisyen,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan dalam majlis perhimpunan bulanan bersama Naib Canselor UTM di Dewan Sultan Iskandar pagi tadi yang juga turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ir. Dr. Zainuddin bin Abd Manan, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Mohd Hamdan bin Haji Ahmad dan juga Pendaftar UTM, Encik Abdul Razib bin Hj. Shahuddin.

Mengambil contoh pengurusan data yang baik, Prof. Datuk Wahid telah memberikan contoh aplikasi UTMSmart yang dibangunkan oleh Jabatan Perkhidmatan Digital (UTM Digital) yang antaranya membolehkan permohonan cuti dilakukan hanya melalui telefon bimbit.

“UTMSmart adalah contoh pengurusan data terbaik pernah dibangunkan oleh UTM. Selain membantu kita untuk mendapatkan data staf dengan cepat, aplikasi ini juga membolehkan kita menguruskan penempatan staf dengan baik.

Melalui aplikasi ini juga permohonan cuti dapat diuruskan dengan hanya menggunakan telefon bimbit dan staf tidak perlu untuk memproses permohonan cuti ini secara ‘manual’ sepertimana yang dilakukan sebelum ini,” katanya lagi.

Dengan kemajuan penggunaan data seperti ini, fungsi kakitangan dapat dioptimumkan dengan menempatkan mereka di Pusat Tanggungjawab Jabatan (PTJ) yang lebih memerlukan khidmat mereka.

Menurutnya lagi, budaya kerja berpandukan data (Data Driven Culture) ini mempunyai empat komponen utama iaitu Infrastruktur Digital, Penstoran Data (Data Warehouse), Perkakasan/Sistem/Perisian dan juga tenaga kerja (manusia).

“Kita telah pun mempunyai keempat-empat komponen yang disebutkan ini. Dari segi infrastruktur digital, UTM telah pun membuat pelaburan termasuklah menaiktaraf dan membaiki kemudahan berkaitan internet dengan perbelanjaan yang dikeluarkan sebanyak RM25 juta.

UTM juga telah mempunyai Pusat Data (Data Centre) bertahap Tier 3 yang mencapai tahap pengiktirafan akreditasi penuh bernilai RM12 juta. Ini seharusnya menjadi elemen penstroran data yang baik,” katanya lagi.

Prof. Datuk Wahid kemudiannya semasa majlis tersebut turut merasmikan program Bulan Kebangsaan peringkat UTM sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-63 pada tahun ini.

 

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar (tiga kanan) ketika melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan UTM di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru pagi tadi.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Explore More