JOHOR BAHRU, 4 Ogos – Seramai 100 orang kakitangan dan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyertai program Merdeka Ride 10.1 Kilometer Berbasikal anjuran Jabatan Pendaftar universiti itu semalam.
Program ini telah dilancarkan secara rasminya di Foyer Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI) oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar pada lewat petang semalam.
Penyelaras program, Puan Norazlina Md. Zaid berkata program kayuhan berbasikal sejauh 10.1 KM di dalam kawasan kampus UTM Johor Bahru ini adalah bagi menghayati ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-63.
“Sambil mengayuh basikal sejauh 10.1 KM dalam kawasan kampus UTM Johor Bahru, para peserta diminta untuk mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik pra pelancaran bulan kemerdekaan peringkat universiti tahun 2020.”
“Program ini juga dianjurkan bagi menyuntik dan menimbulkan kesedaran tentang pentingnya mengingati hari kemerdekaan negara di kalangan warga UTM khasnya dan juga rakyat Malaysia secara amnya,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi pelancaran program itu yang berlangsung di Foyer BCSI, UTM kampus Johor Bahru. Turut hadir adalah Pendaftar UTM, Encik Abdul Razib Hj. Shahuddin dan Pengarah Hal Ehwal Korporat UTM, Prof. Madya Dr. Zaleha Abdullah.
Menurut Puan Norazlina lagi, aktiviti ini turut mempromosikan gaya hidup sihat di samping menjadi medium untuk mengurangkan tekanan dan mengeratkan hubungan silaturahim antara staf, pelajar, alumni dan juga pesara UTM.
Program Merdeka UTM seperti ini menjadi lebih bermakna kerana turut disertai oleh Naib Canselor UTM itu sendiri untuk mengetuai konvoi berbasikal.
![](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2020/08/DSC_2011-551x367.jpg)
![](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2020/08/DSC_2081-551x367.jpg)
![](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2020/08/Pendaftar-UTM-menyertai-Merdeka-Ride-2020-e1596613574132-551x369.jpg)
![](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2020/08/Naib-Canselor-bergambar-kenangan-bersama-peserta-dan-urusetia-Merdeka-Ride-2020-551x248.jpg)