Disember 27, 2024

UTM-IUIU Tandatangan Memorandum Perjanjian untuk Membangunkan Kampus Induk IUIU di Uganda

JOHOR BAHRU, 20 Julai – Satu Memorandum Perjanjian (MoA) telah ditandatangani antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Islamic University In Uganda (IUIU) dengan matlamat untuk membangunkan pelan induk kampus IUIU di Mbale, Uganda.

Perjanjian yang ditandatangani secara dalam talian itu telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama (BMU), Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, kampus UTM Johor Bahru dengan diwakili oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar manakala IUIU pula diwakili oleh Rektor universiti itu, Dr. Ahmad Kawesa Sengendo.

Majlis menandatangani Memorandum Penjanjian ini turut disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts Dr Mohd Hamdan Hj. Ahmad dan Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Prof. Sr. Dr Hishamuddin Mohd Ali.

Berikutan dengan kerjasama ini, UTM melalui Institut Sultan Iskandar (ISI) akan dipertanggungjawabkan dalam menguruskan penyelidikan bersama selama enam bulan yang melibatkan pelbagai bidang kepakaran seperti perancangan bandar, pengangkutan, arkitek, arkitek lanskap, harta tanah, ukur bahan, kejuruteraan mekanikal dan elektrikal serta kejuruteraan awam.

Pengarah Eksekutif ISI, Prof. Dr. Syed Ahmad Iskandar Syed Ariffin berkata inisiatif perlaksanaan penyelidikan kolaborasi ini telah pun bermula sejak tahun 2019 lagi di mana beliau dan juga ahli kumpulannya telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan IUIU.

“Projek ini telah bermula secara rasminya pada 1 Julai 2020 dan ia akan terus berlangsung selama enam bulan kehadapan. Dalam tempoh ini kami akan melakukan pertemuan secara dalam talian dan juga sekiranya keadaan mengizinkan, UTM akan ke Uganda bagi tujuan lawatan ke tapak projek pembangunan kampus IUIU.”

“Dalam usaha menjayakan projek ini kedua belah pihak telah pun membentuk kumpulan kerja mengikut bidang kepakaran masing-masing. Di pihak UTM, kami akan membekalkan kepada mereka segala kemahiran dan kepakaran yang diperlukan manakala kumpulan IUIU pula akan memberikan kami maklumat mengenai keadaan persekitaran dan budaya masyarakat tempatan Uganda untuk disesuaikan dengan projek yang telah dirangkakan,”  kata Prof. Syed Ahmad.

Prof. Syed Ahmad juga berkata bahawa projek yang bernilai USD 120,000.00 ini juga bakal mewujudkan kerjasama padu antara dua negara dan juga membuka lebih banyak peluang usahasama secara dua hala pada masa akan datang.

“Dalam masa yang sama, perjanjian ini juga dapat mengukuhkan hubungan kerjasama yang sedia ada untuk kepentingan pembangunan negara serta mewujudkan perkongsian pintar dalam hal-hal yang membawa manfaat intelektual kepada kedua-dua pihak.”

“Selain itu, kerjasama ini juga diharapkan dapat memenuhi matlamat keperluan bidang pendidikan tinggi terutamanya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan,” ujarnya lagi.

Sebelum IUIU, ISI juga pernah menjalankan kerjasama dengan beberapa entiti lain di benua Afrika seperti pembangunan bandar Lusaka di Zambia dan juga kerjasama dalam bidang pembangunan infrastruktur dan Pengangkutan di bawah Kementerian Infrastruktur dan Pengangkutan Sudan.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir Dr Wahid Omar (dua kanan) menandatangani Memorandum Perjanjian UTM-IUIU sambil disaksikan oleh Rektor IUIU, Dr Ahmad Kawesa Sengendo semasa persidangan dalam talian secara terus dari kampus IUIU di Uganda.
Perwakilan UTM dan IUIU ‘bergambar kenangan’ selepas majlis menandatangani MoA berkenaan sebagai tanda kerjasama untuk berkolaborasi telah pun dicapai.

Explore More