Disember 27, 2024

Tenaga Solar Bantu Menyelesaikan Masalah Penyusutan Sumber Tenaga Konvensional

Dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil seperti petroleum, strategi campuran tenaga telah diperkenalkan bagi memastikan kestabilan bekalan tenaga lantaran kuantiti minyak mentah yang semakin rendah.

Di Malaysia, strategi campuran tenaga kebiasaanya dilaksanakan oleh syarikat utiliti utama seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sabah Energy Sdn Bhd (SESB), dan Sarawak Energy Berhad (SEB). Berikutan pelaksaan tersebut,  kebergantungan kepada minyak mentah berjaya diturunkan dari 87 peratus pada 1980 kepada kurang satu peratus pada hari ini.

Bagaimanapun, campuran tenaga ini masih berasaskan bahan api fosil lain seperti arang batu dan gas asli di mana jumlah penghasilan tenaga dari bahan ini meningkat melebihi 80 peratus dan hanya sedikit sahaja tenaga dijana dari sumber hidro, iaitu kurang 15 peratus.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) juga pernah mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa keperluan tenaga dunia dijangka akan meningkat menjelang 2030 dengan bahan api fosil kekal menjadi sumber utama walaupun bekalannya semakin berkurangan.

Pengarah (Kejuruteraan Elektrik Kuasa) dari Fakulti Kejuruteraan, Sekolah Kejuruteraan Elektrik (SKE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Jasrul Jamani Jamian berkata usaha penyelidikan bagi menyokong penggunaan tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy) seharusnya dipergiatkan memandangkan terdapat berita yang menyatakan bahawa sumber tenaga konvensional seperti petroleum, gas asli, dan arang batu adalah semakin berkurangan.

Penggunaan kaedah campuran tenaga difahamkan tidak praktikal kerana selain tidak dapat banyak membantu dalam mengurangkan kebergantungan terhadap sumber petroleum, kaedah campuran ini juga menggunakan bahan api yang bersifat tidak boleh diperbahrui. Oleh itu, alternatif terbaik adalah dengan menggunakan kaedah solar iaitu tenaga yang bersumberkan cahaya matahari.

Bersuara dalam nada tegas mengenai penggunaan tenaga solar ketika sesi wawancara oleh wakil Pejabat Hal Ehwal Korporat (HEK) di pejabatnya, Dr. Jasrul berkata kebergantungan yang ‘berat’ terhadap bahan bakar konvensional ini bukan sahaja perlu dibayar dengan kerosakan pada alam sekitar malah manusia juga tertekan dengan kos yang perlu dibayar secara wang ringgit.

Mengulas mengenai isu bayaran ini, Dr. Jasrul membangkitkan hal berkaitan bil elektrik UTM yang berjumlah RM1.7 juta pada tahun 2019 dengan menegaskan jumlah sebesar ini mungkin boleh dikurangkan sehingga separuh sekiranya pihak universiti mempertingkatkan lagi usaha mengambil langkah kreatif dan inovatif dalam menggunakan kaedah penggunaan tenaga solar-konvensional.

Bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga konvensional, UTM digalakkan untuk menggunakan tenaga solar pada waktu siang di mana kiraan kadar setiap unit elektrik yang digunakan adalah tinggi (kadar waktu puncak) berbanding di waktu malam yang lebih rendah.

Dr. Jasrul juga menjelaskan bahawa tenaga solar boleh dijana sama ada melalui sistem penghasilannya daripada radiasi matahari atau haba matahari. Bagi negara yang bersifat tropika seperti Malaysia, sistem radiasi matahari lebih sesuai digunakan kerana tahap kepanasan matahari yang diterima hanya 40 peratus berbanding negara di timur tengah yang boleh menjana tenaga dari suhu pancaran matahari kerana mencapai tahap kepanasan sehingga 60 peratus.

Dalam penggunaan tenaga solar ini, beberapa alat ataupun aksesori tambahan haruslah dipasang contohnya panel solar dan juga beberapa aksesori lain bagi menyokong sistem ini.  Pengguna yang memilih untuk menggunakan tenaga boleh diperbaharui ini juga tidak boleh lari dari hakikat keperluan kos pemasangan dan juga penyelenggaraan jangka panjang.

Pengguna dinasihatkan agar tidak hanya melihat kos yang perlu dikeluarkan tetapi sebaliknya harus juga melihat akan keupayaan tenaga ini dalam mengurangkan kerosakan alam sekitar akibat pelepasan karbon ke udara. Selain bersifat semulajadi dan boleh diperbaharui, tenaga ini juga dipercayai mampu untuk mengurangkan perbelanjaan bil elektrik bulanan.

Rakyat Malaysia seharusnya sedar bahawa sumber tenaga konvensional seperti petroleum, arang batu dan juga gas asli ini adalah sumber yang tidak boleh diperbaharui dan bakal habis pada suatu hari nanti. Demi untuk menjamin keperluan kehidupan pada masa hadapan, tindakan yang proaktif perlu diterokai dan dipraktikkan bagi mencari sumber alternatif kepada tenaga boleh diperbaharui untuk menggantikan sumber tenaga konvensional ini.

Ladang solar milik UTM di kampus Kuala Lumpur.
Panel solar di UTM Eco-Home yang terletak di kampus Johor Bahru.
Petroleum, Gas Asli dan juga Arang Batu adalah tiga sumber tenaga fosil yang tidak boleh diperbahrui serta tidak bersifat mesra alam.

Explore More