November 5, 2024

Search
Close this search box.

Syukur Berada Di Bawah Jagaan UTM Sepanjang PKP- Pelajar

Penularan wabak penyakit Covid-19 yang kini melanda negara Malaysia malahan di seluruh dunia pastinya telah membawa kerisauan kepada semua pihak tidak terkecuali warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Perdana Menteri Malaysia, terdapat ramai pelajar tempatan dan antarabangsa yang menetap di kampus iaitu dibawah pengawasan pihak UTM yang bertugas.

Muhammad Izwan Awang Satiah iaitu pelajar dari Fakulti Pendidikan dan juga merupakan sukarewalan yang membantu petugas mengagihkan makanan, amat berterima kasih di atas segala usaha kerajaan serta pihak pentadbiran universiti dalam memanfaatkan peruntukan yang ada untuk membekalkan mereka keperluan makanan yang mencukupi semasa PKP.

“Selain dapat makanan percuma untuk tengahari dan malam, kami juga dapat kudapan lebih seperti roti, bijirin, dan banyak lagi.” -Imam Zaid Abdullah, pelajar antarabangsa Fakulti Kejuruteraan dari Pakistan.

Ini menunjukkan bahawa pihak UTM adalah sentiasa dalam usaha untuk membantu menyempurnakan bekalan makanan untuk kesemua 3,218 pelajar kampus Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Pelajar yang turut sama bantu mengagihkan makanan kepada pelajar lain

Dari segi pembelajaran,  ia telah dijalankan secara dalam talian sebagai suatu inisiatif yang terbaik untuk menghindari penularan wabak Covid-19 kerana dapat mengekalkan jarak sosial disamping tidak ketinggalan dalam pengajian.

Muhammad Izwan juga berpendapat bahawa pembelajaran dalam talian ialah sesuatu yang baru buat mereka dan ia membantu untuk membawa Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Abad ke-21 ke hadapan dengan caranya yang memanfaatkan platform yang ada .

Manakala pendapat dari Fatin Farhana Ramlee iaitu  pelajar Fakulti Pendidikan adalah proses pembelajaran dalam talian ada kalanya terhad kerana bergantung kepada rangkaian internet yang tidak menentu namun, ia tetap mudah dan wajar digunakan semasa PKP.

Di dalam soal keselamatan pula, pelajar akan sentiasa berasa selamat dengan keberadaan petugas dari Bahagian Keselamatan UTM yang sentiasa mengawal ketat keluar masuk pelawat serta Pusat Kesihatan Universiti (PKU) yang sentiasa bersedia memberikan rawatan kepada pelajar.

Pengawasan keluar dan masuk Kampus yang ketat oleh petugas Bahagian Keselamatan UTM

Berdasarkan pengalaman Fatin Amirah Abdul Nasir dari Fakulti Kejuruteraan, beliau pernah diminta oleh petugas Bahagian Keselamatan UTM untuk kekal berada dalam bilik melainkan kecemasan demi menjaga jarak sosial dikalangan pelajar.

Ini nyata menunjukkan bahawa petugas tersebut amat mengambil berat soal keadaan dan melindungi pelajar semasa PKP. Dengan tahap keselamatan yang baik di UTM seperti ini, ahli keluarga tidak akan terlalu bimbang dan yakin akan keselamatan pelajar yang tinggal di kampus seperti yang berlaku kepada dua orang pelajar antarabangsa UTM iaitu Isfan dan Imam.

“Keluarga saya kurang risau tentang saya kerana mereka yakin dengan keselamatan saya di UTM dan berpendapat bahawa tinggal di kampus pada masa ini adalah pilihan yang terbaik– Muhammad Isfan Haris, pelajar antarabangsa Azman Hashim International Business School (AHIBS), UTM dari Indonesia.

“Reaksi keluarga saya di Pakistan adalah mereka berasa lega apabila mendapat tahu saya berasa selamat disini dan mereka menasihatkan saya untuk terus memberi kerjasama dalam mematuhi langkah pencegahan wabak tersebut” – Imam

Disamping itu, antara aktiviti yang dijalankan pelajar sepanjang menjalani PKP di kampus ialah bersenam, membuat kerja sukarewalan, membersihkan bilik, menyiapkan tugasan yang ada, dan ‘binge watch’ drama kegemaran yang tidak dapat ditonton pada hari biasaan mereka.

“Aktiviti seharian saya semasa PKP adalah menjalankan aktiviti kesukarelawan seperti membantu mengagihkan makanan di kolej serta kerap membuat panggilan untuk bertanya khabar rakan-rakan dan saudara-mara yang jauh di Pakistan” – Imam

Pelajar juga mempunyai alternatif mereka sendiri untuk mencegah wabak merbahaya Covid-19 iaitu dengan cara mengekalkan jarak sosial 1 meter diantara satu sama lain, kerap membasuh tangan atau memakai hand sanitizer, dan sentiasa menitikberatkan arahan yang dikeluarkan pihak universiti atau kerajaan berkaitan wabak untuk mengatasinya dengan baik.

Sementara itu, petugas UTM sentiasa menjaga kebersihan di tahap yang maksimum sehingga memberi galakan kepada semua pelajar untuk mengunakan cara imbas kod QR semasa mengisi borang yang diperlukan tanpa berkongsi pen dan kertas yang sama.

Pematuhan jarak sosial antara satu sama lain semasa pengambilan makanan

Oleh demikian rata-rata pelajar berasa sangat bersyukur dengan keprihatinan pihak universiti dalam bertungkus lumus untuk menjaga kebajikan mereka pada setiap hari. Mereka amat berbangga menjadi warga UTM yang cekap menguruskan kampus dan teguh bersama dalam pelbagai rintangan.

“Saya sangat menghargai segala yang telah dilakukan oleh UTM kepada saya dan saya benar-benar dapat merasakan kebaikan dan keikhlasanya”- Irfan

#IamWell@UTM

 

Explore More