November 22, 2024

Search
Close this search box.

16 Pelajar Kolej Tunku Canselor Bertukar Ilmu dalam Jelajah Matahari Terbit  

Mazlan Nordin pernah menulis dalam artikelnya yang disiarkan dalam Utusan Malaysia, 09/05/2010 bahawa sebilangan orang Jepun mula belajar Bahasa Melayu 100 tahun lalu.

Perkara ini ditukil oleh seorang penulis Jepun, Moriyama dalam sebuah esei tulisannya yang menyatakan buku pertama terbit pada awal 1900-an dan kini terdapat lebih 200 buah jumlah buku dan kamus Melayu.

Beliau mencatat hal tersebut ketika mengisahkan perjalanan Marquis Yoshichika Tokugawa (1886-1976), seorang pembesar Jepun yang disebut sebagai pelopor pelajaran Bahasa Melayu di negeri Jepun setelah menjelajah Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Jawa. Beliau kemudian menjadi ketua Muzium Singapura dan Botanical Gardens semasa Perang Pasifik.

Ternyata setelah lebih 100 tahun, penguasaan dan pengajaran Bahasa Melayu di Jepun sangat rendah jumlahnya berbanding penguasaan Bahasa Jepun di kalangan orang Melayu atau rakyat Malaysia.

Menyedari hakikat itu sepasukan pelajar dari Kolej Tunku Canselor (KTC), Universiti Teknologi Malaysia yang berkelana selama seminggu di Tokyo baru-baru ini untuk mengambil peluang keemasan tersebut bagi mengajar Bahasa Melayu di negara matahari terbit itu.

 

Program anjuran Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Tuanku Canselor yang dinamakan Jelajah Matahari Terbit (JMT) ini diadakan selama seminggu bermula dari 25 September 2019  sehingga 1 Oktober 2019. Ia diadakan di sekitar Kawasan Tokyo, Jepun dengan objektif utamanya memperkenalkan budaya Malaysia dan membuat pertukaran budaya antara masyarakat Malaysia dan masyarakat Jepun. Di samping itu juga, pasukan ini mengadakan lawatan ke beberapa industri di Jepun bagi mendalami ilmu serta merasai sendiri kemajuan teknologi mereka.

Seramai 16 peserta yang menyertai program ini terdiri daripada 12 orang pelajar dan 4 orang pengiring program. Sepanjang menetap di Tokyo, perjalanan mereka turut dibantu oleh pelajar Malaysia yang menuntut di sana.

Ketika lawatan di Shibaura Institute of Technology (SIT) kampus Toyosu, para peserta berkolaborasi dengan para pelajar untuk memperkenalkan budaya Malaysia,  melawat persekitaran tempat pembelajaran mereka dan melaksanakan modul yang telah dirancang.

Antara yang menarik adalah dengan meminta mereka memperkenalkan diri dalam Bahasa Melayu, menulis nama mereka dalam tulisan jawi serta bermain permainan tradisional seperti batu seremban dan congkak serta mencuba memakai Baju Melayu dan Baju Kurung.

Peserta Malaysia pula turut diberikan peluang untuk mencuba pakaian tradisional masyarakat Jepun iaitu yukata dan kimono disusuli dengan sesi fotografi yang penuh dengan gelak ketawa.

Penerokaan mereka diteruskan melalui lawatan di beberapa industri di Jepun iaitu Kawasaki Eco Gurashi Mirai-kan dan kilang Coca Cola.

Di Kawasaki Eco Gurashi Mirai-kan, peserta dibawa sekeliling kilang untuk mempelajari tentang proses-proses yang dijalankan bagi melupuskan sampah-sampah di wilayah Kawasaki. Antara perkara paling menarik adalah bagaimana mereka membakar sampah yang telah diasingkan dan seterusnya melepaskan abu pembakaran tersebut ke kawasan laut yang sudah ditanda. Hasilnya, akan terjadi mendapan di dalam laut yang akhirnya membentuk tanah. Bukan itu sahaja, mereka juga akan memastikan setiap sisa dan sampah dikitar semula dikitar semula sebaik mungkin.

Presiden JKM KTC, Muhammad Ruzairi Ramli berkata banyak budaya masyarakat Jepun yang wajar  dicontohi antaranya sikap rajin, budaya kerja mereka yang sangat cemerlang, kebersihan di seluruh tempat dan ketepatan masa.

“Mereka juga sangat ramah dan menghormati pelancong yang datang ke negara mereka,” tambahnya lagi.

Senarai Peserta Jelajah Matahari Terbit 2019 adalah seperti berikut:

Amirul Syafiq Mohammad Fadli
Ahmad Amirul Hakim Zahrin
Ahmad Syaarif Kamal
Ainun Khairiyah Taib
Muhammad Noor M Saud
Nithyaganeshan Thamotharan
Nur Zafirah Muhammad Zubir
Nur Elida Jazmeen Salihin
Adnin Nur Qatrunnada Amran
Muhammad Ruzairi Ramli
Nur Aini Wahidah Razali
Nur Safirah Darsono

Explore More