Disember 27, 2024

Pelajar Antarabangsa Perkuat Misi Pasca Banjir UTM Di Segamat

SEGAMAT, 26 Disember — Pasukan Sukarelawan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi menabur bakti membantu meringankan beban mangsa banjir di daerah Segamat apabila membantu dalam kerja-kerja pembersihan di Kg Sepang Loi, di sini dan kali ini, ianya lebih bermakna apabila turut mendapat bantuan dari pelajar antarabangsa.

Program yang dipanggil Misi Bantuan Pasca Banjir 2.0 UTM : Segamat melibatkan 61 sukarelawan warga UTM yang terdiri daripada 41 orang pelajar dan 20 orang staf UTM.

Istimewanya misi kali ini adalah apabila 21 orang pelajar antarabangsa julung-julung kali menyertai misi seperti ini.

Rata-rata mereka sangat gembira diberi peluang tersebut kerana selain beroleh pengalaman baharu, mereka berasa bangga kerana dapat turut menjadi sebahagian dari mereka yang prihatin terhadap mangsa banjir yang kurang bernasib baik.

Pelajar-pelajar ini terdiri dari 8 negara termasuk China, Nigeria, Myanmar, Pakistan dan Indonesia dan datang dari pelbagai peringkat pengajian seperti Doktor Falsafah dan Sarjana.

Keprihatinan dan kegigihan seramai pelajar ini wajar dipuji kerana walaupun berbeza bahasa, pelajar-pelajar tersebut cepat membiasakan diri berinteraksi dengan penduduk setempat sekali gus menunjukkan kesungguhan masing-masing dalam melakukan aktiviti gotong royong tersebut.

Bagi pelajar berasal dari Nigeria, Zainab Jargun, ini adalah kali pertama beliau dan rakan-rakannya sampai ke daerah Segamat apatah lagi ke perkampungan seperti Spang Loi ini. Seharian berada di sana, beliau kagum melihat keprihatinan rakyat Malaysia yang tidak putus menghulurkan bantuan walaupun kedudukan kampung tersebuat yang agak terpencil.

“Apabila melihat badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan serta syarikat swasta dari serata negeri hadir membawa misi yang sama, ianya menguatkan lagi semangat kami untuk bekerja keras membantu mengurangkan beban mangsa,” tambah pelajar Doktor Falsafah dari Fakulti Alam Bina dan Ukur itu lagi.

Pengarah Program, Mohamad Aizuddin Hafizi Bin Hisham berkata, program sebegini memberi peluang dan ruang kepada mahasiswa untuk berbakti kepada masyarakat.

“Penglibatan pelajar antarabangsa dalam program ini juga telah memberikan impak positif dalam mutu komunikasi antara mereka bersama pelajar tempatan serta mendedahkan pelajar antarabangsa dengan budaya masyarakat di negara kita.

Saya harap program sebegini dapat diteruskan kerana ramai lagi yang sebenarnya berkeinginan untuk mengikuti program ini namun terbatas dengan komitmen kelas dan peperiksaan. Jika tidak, sudah tentu mereka akan turut serta dalam program ini,”kata beliau.

UTM mula menghantar misi bantuan pasca banjir sejak 19 Disember lalu ke beberapa kawasan di Kota Tinggi dengan penyertaan lebih 100 pelajar dan stafnya.

Dalam misi kali ini, mereka turut menerima jemputan untuk bersama-sama dengan YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Dr. Sahruddin Jamal mengagihkan sumbangan kepada anak-anak mangsa banjir di Pusat Penempatan Banjir Kg. Tandung.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, YB Dr. Sulaiman Mohd. Nor yang juga merupakan mantan tenaga pengajar yang pernah bertugas di UTM dan juga Ahli Parlimen Segamat, YB Dato’ Sri Dr. Santhara.

Penulis bersama : Masnawi Miskam 

Bersama dengan YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Dr. Sahruddin Jamal dan Ahli Parlimen Segamat,, YB Dato’ Sri Dr. Santhara (berkaca mata hitam) di pusat penempatan banjir di Kg. Tandung.

 

Antara mahasiswa antarabangsa yang menyertai misi bantuan banjir di Segamat.

 

Explore More