Disember 19, 2024

Ultras Kolej Tun Dr. Ismail Kuasa Baru Acara Sorakan

Kontinjen Kolej Kediaman 9/10  membuktikan kehebatan mereka apabila mengungguli UTM Games 2019 setelah menggondol 11 emas, 5 perak dan 2 gangsa yang menjadikan keseluruhannya 18 pingat. Bagi kategori lelaki Kolej 9/10 menguasai acara sepak takraw, badminton, petanque, lompat jauh dan 4×100 meter.

Pasukan wanita mereka juga mempamerkan taring mereka dengan merangkul emas acara bola tampar, badminton, lempar cakera, lompat jauh, 100m dan 400m.

Kejohanan berlangsung selama 7 hari dari 15 hingga 22 November lalu di pelbagai tempat di sekitar kampus UTM Johor Bahru itu turut menyaksikan kontinjen Kolej Tun Hussien dinobatkan sebagai naib juara dengan 8 emas, 1 perak dan 4 gangsa.

Tempat ketiga dimenangi Kolej Tun Razak dengan pungutan 3 emas, 7 perak dan 3 gangsa.

Sebanyak 11 kontinjen kolej kediaman termasuk pasukan dari UTM Kuala Lumpur menyertai kejohanan itu dalam 11 sukan yang dipertandingkan iaitu futsal (lelaki dan wanita), badminton (lelaki dan wanita), pingpong (lelaki dan wanita), bola jaring, sepak takraw dan ragbi wanita.

Majlis penutupan telah disempurnakan di 22 November 2019 di UTM Sports Hall oleh Pegawai Belia & Sukan Kanan, Hj. Armadi Ahmad yang mewakili Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM.

Suasana majlis penutup tersebut turut dimeriahkan dengan pertembungan 3 finalis acara sorakan ultras yang menampilkan persembahan menarik dari Kolej Tun Fatimah, Kolej Tun Dr. Ismail dan Kolej Rahman Putra.

Kolej Tun Dr. Ismail muncul pemenang setelah memperagakan sorakan, lagu, gendang dan paling mencuri tumpuan solekan ala ‘joker’ yang mewarnai wajah semua anggota pasukan.  Aksi maskot gajah ‘nakal’ yang turut memperkuatkan pasukan juga berjaya mencuit hati penonton serta juri.

Ultras KTDI pamer persembahan mantap di acara penutup

Pengetua Kolej 9/10, Dr. Abd Rahman Tamuri sangat gembira dengan pencapaian ini dan tanpa berselindung menyatakan mereka sememangnya mensasarkan untuk muncul juara keseluruhan sejak awal lagi dengan sasaran lebih tinggi iaitu 12 pingat emas berbanding 11 yang berjaya dituai.

Beliau yang turut hadir menerima piala pusingan menambah usaha keras dan persiapan rapi yang dijalankan oleh semua atlet membuahkan hasil.

“Tahniah kepada semua atlet Kolej 9/10 serta seluruh atlet yang bertanding dengan semangat kesukanan yang amat tinggi. Setinggi tinggi tahniah juga kepada penganjur terutamanya Students Athlete Sports Council (SASC) dan UTM Sports Excellence atas penganjuran yang terbaik,” ujarnya lagi.

Ratu pecut UTM, Nur Ain Atiqah Mohd Amin

Salah seorang atlet yang menjadi tonggak kejayaan Kolej 9/10 adalah Nur Ain Atiqah Mohd Amin, 23, yang menyumbang 1 emas, 1 perak dan 1 gangsa. Lebih manis lagi pingat emas yang diraih adalah melalui acara tumpuan olahraga iaitu acara pecut 100 meter.

Selain olahraga, pelajar jurusan Sarjana Sains Kimia berasal dari Tanah Merah, Kelantan itu juga beraksi dalam sukan lain iaitu bola keranjang di mana pasukannya berjaya memenangi pingat perak.

“Saya sangat bersyukur kerana berjaya mendapat emas 100 meter walaupun kami kurang bernasib baik kerana kemenangan kuartet 4×400 meter pasukan kami dibatalkan atas faktor teknikal. Kejayaan Kolej 9/10 ini adalah hasil semangat juang tinggi dan kerja keras pasukan.

Ia sememangnya tidak dijangka dan saya perlu berterima kasih kepada rakan lain,” tambahnya lagi yang juga merupakan Olahragawati Kolej Tun Razak 2015 & 2016 serta Olahragawati Sukan kampus UTM (SUKAM) edisi 2017.

Explore More