Februari 9, 2025

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima lawatan rasmi daripada wakil pentadbiran Wilayah Guizhou, China. Lawatan yang diketuai oleh Naib Gabenor Wilayah Guizhou (The People’s Government of Guizhou Province), Tuan Li Zaiyong  ini diadakan antaranya bagi merintis peluang kerjasama strategik antara Wilayah Guizhou dengan UTM dalam bidang penyelidikan terutamanya dalam bidang Data Raya (Big Data) dan Ekologi.

Wilayah Guizhou yang mempunyai populasi lebih daripada 36 juta orang ini telah digazetkan oleh Kerajaan Republik Rakyat China sebagai pusat perkembangan inovasi teknologi berkaitan Kecerdasan Pembuatan (Artificial Intelligence) dan Data Raya. Status ini diperkukuhkan lagi menerusi penganjuran The China International Big Data Industry Expo and The Eco Forum Global Annual Conference Guiyang pada tahun 2018.

Hubungan wilayah ini dengan Universiti-Universiti di ASEAN amnya dan Malaysia khasnya telah juga telah terjalin menerusi penganjuran The 12th China ASEAN Education Cooperation Week (CAECW) yang diadakan pada setiap tahun di Guiyang, Guizhou. Kekuatan ekonomi wilayah ini dapat dilihat menerusi pendapatan dalam negara kasar (GDP)nya yang berjumlah 1.48 bilion Yuan (bersamaan RM876 juta) dan pendapatan daripada bajet umum sebanyak 172 bilion Yuan (bersamaan RM101 bilion) pada tahun 2018. Wilayah ini juga mempunyai sekitar sepuluh buah universiti yang menawarkan pengajian dalam pelbagai bidang di pelbagai peringkat.

Selain kerjasama dalam bidang penyelidikan, kehadiran delegasi dari Wilayah Guizhou ini juga adalah untuk menzahirkan hasrat untuk menghantar staf dan pelajar dari wilayah tersebut untuk menyambung pengajian di Malaysia umumnya dan UTM khasnya. Mereka turut bakal menawarkan biasiswa kepada pelajar Malaysia terpilih bagi menyambung pengajian di Universiti-Universiti di Guizhou.

Tuan Li Zaiyong bersama delegasi juga sempat meluangkan masa untuk bertemu dengan beberapa orang pelajar UTM yang berasal dari Wilayah Guizhou. Sehingga kini, UTM mempunyai lebih 150 orang pelajar dari negara China yang menyambung pengajian secara sepenuh masa dan juga yang mengikuti program pertukaran pelajar (exchange) di Universiti ini.

UTM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Ir. Ts. Dr. Zainuddin Abd Manan dan disertai oleh wakil-wakil dari pejabat UTM International serta kumpulan profesor dan penyelidik UTM daripada bidang Data Raya, Ekologi dan Kecerdasan Pembuatan. Selain itu, Profesor Dr. Rahmah Ahmad H. Osman, Pengarah Bahagian Education Malaysia, Jabatan Pengajian Tinggi dan En Abdul Aziz How Abdullah dari Education Malaysia, Kedutaan Malaysia di Republik Rakyat China juga turut hadir bersama dalam pertemuan ini.

En Abdul Aziz  merupakan individu penting yang membantu menyelaraskan lawatan delegasi ini ke Malaysia dan UTM. Datuk Naib Canselor UTM yang tidak dapat mempengerusikan sesi mesyuarat dua hala ini kerana terlibat dengan komitmen lain, telah bertemu dengan delegasi ini semasa sesi makan tengahari sejurus sebelum delegasi ini bertolak ke Kota Iskandar.

Selain ke UTM, delegasi ini turut mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Amat Berhormat, Dato’ Dr. Sahruddin bin Jamal, Menteri Besar Johor dan pertemuan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia. Sebagai kesinambungan kepada pertemuan ini, kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan lebih lanjut berkaitan pelbagai cadangan yang telah diutarakan sepanjang pertemuan tersebut.

 

Disediakan oleh,

Global & Strategy Engagement Unit,

UTM International

(19 November 2019)

Explore More