Satu program yang bertemakan semangat cintakan alam sekitar telah dianjurkan dengan jayanya oleh Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi menyemarakkan semangat cintakan alam sekitar baru-baru ini.
Program yang dinamakan sebagai ‘Green Day 2019’ itu telah berlangsung di Dataran Fakulti Sains berhampiran dengan Blok C17, kampus Johor Bahru.
Pengarah Program, Dr. Nor Azimah Mohd. Zain berkata matlamat utama penganjuran program itu adalah untuk meningkatkan kefahaman kakitangan dan mahasiswa UTM tentang aktiviti penghijauan kampus.
“Kami juga ingin meningkatkan kesedaran mengenai pelupusan sisa elektronik (Electronic Waste) atau e-waste dan juga membangkitkan kesedaran betapa bahan buangan elektronik ini mempunyai beberapa bahan yang berbahaya dan berupaya memberikan mudarat kepada manusia.
Di samping itu, penganjur juga menyediakan platform pengumpulan bahan e-waste bagi mengumpul bahan-bahan itu sebelum dihantar kepada kontraktor pelupusan bertauliah yang jumlahnya tidak ramai,” katanya.
Dr. Nor Azimah berkata terdapat juga pelbagai aktiviti lain yang dirancang oleh penganjur bagi menyemarakkan lagi sambutan program ini.
“Antara aktiviti yang kami rancangkan adalah ‘Green Walk’ iaitu berjalan kaki sekeliling Lingkaran Ilmu sambil mengutip sampah dan juga aktiviti senam robik (aerobik) di Dataran Fakulti Sains yang turut disertai oleh Dekan Fakulti Sains, Prof. Dr. Abdull Rahim Mohd. Yusoff.
Pengunjung juga boleh menambah ilmu pengetahuan tentang ‘Sustainable Development Goal’ atau SDG melalui sesi ceramah oleh Timbalan Pengarah Pelestarian Kampus UTM, Dr. Shazwin Mat Taib,” katanya.
Selain itu sebuah sesi ceramah dan juga sesi praktikal berkenaan cara pembuatan baja kompos dari sisa makanan turut diberikan oleh Dr. Norahim Rahim daripada Fakulti Sains.
“Saya sebagai Pengarah Program berharap agar program sehari ini dapat memberikan maklumat yang berguna kepada warga UTM dan juga masyarakat sekitarnya,”katanya.