Pulau Pandan Jauh ke Tengah
Gunung Daik Bercabang Tiga
Hancur Badan Dikandung Tanah
Budi Yang Baik Dikenang Jua.
Begitulah diibaratkan dengan jasa ‘Orang Kuat’ Muzik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang terlibat dalam penyusunan semula muzik Lagu UTM, Keunggulan Terbilang, Hamzah Ibrahim.
Beliau secara rasminya bersara dari perkhidmatannya selepas 22 tahun mencurah bakti memimpin pasukan orkestra universiti.
Diwawancara di pejabatnya di Unit Kebudayaan UTM, Hamzah berkata banyak kenangan yang dikutip sepanjang bertugas sebagai pengarah muzik dan juga pemimpin orkes UTM.
“Orkes ini amat dekat dengan saya kerana ia ditubuhkan di ‘bawah tangan’ saya ketika mula berkhidmat di UTM pada tahun 1999.
Ia dianggotai oleh pelajar dan juga kakitangan UTM ditubuhkan di atas sebab universiti ini yang menganjurkan majlis-majlis rasmi secara kekal seperti konvokesyen dan juga sebagai jemputan kepada agensi-agensi luar,” katanya.
Hamzah berkata antara kenangan manisnya yang akan diingati adalah mengemudi orkes UTM sehinggakan pasukan itu diisytiharkan sebagai Naib Johan dalam satu pertandingan di Sarawak namun tidak dapat mengingati tarikhnya yang tepat.
Dilahirkan pada 1958 di Tangkak, Johor, Hamzah telah menyertai Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) pada tahun 1978 hingga 1996 dan bertugas di Kor Pancaragam pasukan itu.
18 tahun bersama JMF, beliau akhirnya bersara dan menyertai Orkestra Majlis Perbandaran Johor Bahru (MBJB) dari 1996 hingga 1999 dan seterusnya UTM pada tahun 1999 hinggalah ke tarikh persaraannya.
Menurut Hamzah, sepanjang beliau bertugas, orkes UTM turut mendapat jemputan dari beberapa agensi kerajaan bagi memainkan muzik iringan pada majlis rasmi mereka.
“Selain bermain muzik untuk majlis rasmi UTM, kami turut juga menerima undangan untuk membuat pertunjukan dari Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (KDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Pejabat Dearah Pontian, Pejabat Agama Johor dan juga Yayasan Warisan Johor.
“Bagi membuat persembahan di agensi-agensi yang memberikan undangan ini, kami biasanya akan menjalankan latihan intensif bagi memastikan setiap pemuzik memberikan persembahan menarik di samping lagunya saya gubah sendiri bagi menyesuaikan dengan rentak majlis yang diadakan,” katanya lagi.
Menyentuh mengenai Unit Kebudayaan yang telah dikhidmatinya sejak 22 tahun yang lalu Hamzah berkata satu proses ‘penyegaran semula’ (refreshing) haruslah dilakukan kepada unit itu memandangkan ia menyokong acara-acara penting universiti.
“Buat masa ini, kumpulan penari kebudayaan diketuai oleh En Fauzi Abd. Rais selaku Pegawai Kebudayaan dan saya mengetuai kumpulan orkes.
Selain mengetuai pasukan persembahan tarian, Fauzi juga mengetuai unit ini secara umumnya.
“Unit ini juga disokong oleh beberapa orang staf pentadbiran seperti Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) dan juga Pembantu Operasi bagi tujuan melicinkan kerja-kerja pentadbiran,” katanya.
Menurut Hamzah pihak universiti haruslah bersedia untuk menimbangkan pembesaran unit itu melalui pertambahan perjawatan pelbagai perjawatan Penolong Jurutera (Sistem Bunyi), Artis Budaya, Pegawai Kebudayaan dan juga beberapa staf pentadbiran.
“Unit ini juga memerlukan pembaharuan dalam aspek peralatan muzik yang digunakan memandangkan kebanyakan alat-alat muzik ini telah usang dan perlu diganti dengan yang lebih baharu.
“Sistem Siar Raya (Public Address) atau ‘PA System’ yang kini digunakan juga telah usang dan perlu diganti. Ini amat penting bagi menjamin mutu persembahan yang memuaskan,” katanya lagi.