Disember 23, 2024

Program Prihatin Bandaraya Kolaborasi UTM-MBJB Pupuk Minat STEM Anak-anak Flat

Golongan B40 adalah golongan isi rumah yang berpendapatan purata bulanan di bawah RM 3860.00 dan di bandar kebanyakan yang menghuni flat merupakan golongan B40.

Golongan B40 ini adalah golongan sasaran yang wajib dibantu oleh kerajaan, justeru satu program khidmat komuniti, Prihatin Bandaraya telah diadakan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di kawasan flat di bawah pentadbiran MBJB.

Antara pengisian program ini ialah berbentuk pendidikan iaitu program pelajar minat STEM, program kesihatan, dan permainan.

Sukarelawan UTM menerima sijil penghargaan Program prihatin Bandaraya di Flat Desa Muafakat Taman Suria Muafakat

Pendidikan merupakan satu elemen yang sangat penting untuk kemajuan sesebuah negara.

Justeru program Prihatin Bandaraya ini bertujuan meningkatkan minat mereka terhadap bidang STEM, memberi kesedaran tentang kesihatan dan mengisi masa lapang penduduk dengan aktiviti berfaedah serta mengurangkan gejala lepak dalam kalangan warga flat terutama anak-anak muda dan kanak-kanak.

Melalui program pendidikan pelajar minat STEM juga, penghuni terutama anak-anak flat berpeluang membuat pelbagai aktiviti STEM yang menarik seperti slime, instant ice cream, giant bubble, robot hand, dan pelbagai lagi aktiviti.

Peluang menyertai aktiviti STEM seperti ini mungkin sukar mereka perolehi sendiri kerana kebanyakan program STEM terutamanya di bandar-bandar adalah merupakan program berbayar. Aktiviti yang disediakan mempunyai tiga peringkat iaitu peringkat kanak-kanak 4-6 tahun, peringkat 7-15 tahun dan aktiviti umum.

Untuk pelajar 7-15 tahun, mereka digalakkan untuk menyertai STEM challenge iaitu dengan membuat beberapa tugasan dan hasilnya akan dinilai oleh fasilitator UTM. Peserta yang dapat melengkapkan kesemua aktiviti STEM challenge dan mendapat skor tinggi berpeluang memenangi hamper yang disediakan pihak MBJB.

Antara acara yang dijalankan iaitu aktiviti STEM Giant buble dan catapult

Program ini turut memberi manfaat kepada pelajar UTM yang menjadi sukarelawan membina kemahiran abad ke-21 seperti kemahiran komunikasi, kemahiran berfikir, kemahiran kerjasama, kepimpinan, kemahiran warga global seperti sikap prihatin dan beretika dalam hubungan dengan masyarakat.

Kemahiran-kemahiran ini juga merupakan atribut kejayaan graduan yang dihasratkan oleh UTM di mana terdapat satu kursus yang wajib diikuti oleh pelajar tahun pertama di UTM dan dinamakan Atribut Kejayaan Graduan.

Program Prihatin Bandaraya telah dijalankan di flat-flat di bawah pentadbiran MBJB sepanjang tahun 2019. Antara flat tersebut ialah  Flat Pinang 3 Taman Daya, Flat Akasia Zon Desa Cemerlang, Flat imigresen Kenanga Taman Kenanga Tampoi, Flat Daisi Taman Plentong Utama, Flat Zon 1 Permas Jaya dan yang terbaru Flat Taman Suria Muafakat.

Program Prihatin Bandaraya di Flat Zon 1 Permas Jaya

 

Explore More