JOHOR BAHRU, 28 Jul. – Satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan juga Universitas Dian Nuswantoro (UDINUS) dari Indonesia telah dimeterai bagi membolehkan kedua-dua belah pihak bekerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan kejuruteraan dan pembangunan sumber manusia.
MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar manakala UDINUS diwakili oleh Rektornya, Prof. Ir. Edi Noersasongko.
Prof. Wahid berkata MoU ini menggalakkan kolaborasi akademik dan penyeldikan di antara kedua-dua universiti di samping membangunkan bakat global di kalangan pelajar dan kakitangan.
“Antara inisiatif yang bakal dilaksanakan di bawah MoU ini adalah menggalakkan kolaborasi penyelidikan dan penerbitan diantara kakitangan fakulti daripada kedua-dua institusi serta menjalankan kerjasama dalam beberapa aspek penyelidikan iaitu pertukaran data rujukan, penerbitan serta maklumat akademik yang berkaitan dengan disiplin.
Kedua-dua pihak juga telahpun secara dasarnya bersetuju untuk bekerjasama dalam aktiviti pertukaran pelajar Pra-Siswazah, Pascasiswazah dan juga platform pertukaran kakitangan untuk program pembangunan sumber manusia,” katanya.
Prof. Wahid berkata demikian ketika memberikan ucapan aluan sempena majlis menandatangani MoU berkenaan dengan universiti Indonesia itu yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI) pagi tadi.
Prof. Wahid berkata kerjasama antara UTM dan UDINUS ini adalah kerjasama yang strategik antara institusi pengajian tinggi di peringkat antarabangsa.
“Justeru sudah sampai masanya kita memperkukuh dan memperkuat kerjasama yang telah terjalin antara Fakulti Kejuruteraan UTM dan UDINUS dengan menandatangani Memorandum Persefahaman pada hari ini,” katanya.
Melalui kerjasama ini juga sebuah kerjasama penyelidikan bersama dalam kejuruteraan kimia dan teknologi komunikasi akan dijalankan.
Perbincangan untuk kerjasama ini bertitik tolak dengan jemputan dari Rektor UDINUS kepada Prof. Dr. Sevia Mahdeliza Idrus ke kampus universiti itu bagi memberikan ceramah umum dan perkongsian pengalaman penyelidikan di bawah program World Class Professor Indonesia di Semarang pada 5 November 2018.
Melalui sesi pertemuan ini juga, beberapa orang pensyarah dan profesor UDINUS telah melahirkan hasrat untuk menjalankan kerjasama penyelidikan dengan profesor dari Fakulti Kejuruteraan UTM.
Antara kerjasama yang dihasratkan adalah kerjasama dalam bidang penyelidikan kejuruteraan kimia antara staf kanan UDINUS, Prof. Kusmiyati yang merupakan alumni UTM berhasrat untuk bekerjasama dengan Prof. Dr. Ida Idayu dari Fakulti Kejuruteraan UTM.
Menurut Prof. Wahid lagi, MoU ini juga adalah satu syarat dan pemudahcara bagi memperolehi dana penyelidikan Indonesia dan Yayasan UDINUS.
“Pihak UDINUS juga berhasrat untuk menghantar pensyarahnya ke UTM bagi mengikuti program pengajian Doktor Falsafah dan pertukaran staf serta pelajar untuk mengembangkan kerjasama dalam akademik, pertukaran dan pembangunan staf mereka,” katanya.
Turut menghadiri majlis adalah Dekan Fakulti Kejuruteraan UTM, Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohammed Rafiq Dato’ Abdul Kadir serta Ketua Yayasan UDINUS, Tri Rustanti.