November 23, 2024

Search
Close this search box.

Permaisuri Johor Menjadi Penaung RZS-CASIS Melancarkan Kursi Pemikiran Islam Syed Muhammad Naquib Al-Attas

KUALA LUMPUR, 15 Jun 2019 – Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, yang merupakan Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah melancarkan penaiktarafan dan menjadi penaung kepada Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (RZS-CASIS), sebuah pusat pengajian pasca-siswazah di kampus UTM Kuala Lumpur.

Sebagai pusat pasca-siswazah di bidang yang berkaitan dengan Islam, Sains, dan Tamadun yang bertempat di UTM Kuala Lumpur, pusat ini akan mulai berfungsi secara langsung di bawah naungan Tuanku Raja Zarith Sofiah.

Sokongan dan naungan Permaisuri Johor ke atas RZS-CASIS ini berpotensi membuka lebih banyak peluang serta sokongan strategik terhadap segala usaha-usaha ilmiah para sarjananya  yang semakin dikenali dikalangan penuntut ilmu dan sarjana Muslim di Malaysia dan pelbagai negara.

Sebagai sebahagian daripada penaiktarafan RZS-CASIS ini, Tuanku juga berkenan untuk merasmikan Kursi Pemikiran Islam Syed Muhammad Naquib al-Attas, sebuah kursi ilmiah yang ditaja oleh QSR Brands yang di amanahkan kepada Profesor Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud.

Penyandang Kursi ini dipilih sendiri oleh Yang Mulia Tan Sri Profesor Al-Attas, ilmuwan Islam ulung peringkat antarabangsa dalam suatu pertemuan dengan Permaisuri Johor. Lantikan ini berlaku selama 3 tahun.

Penubuhan Kursi SMN Al-Attas ini diharapkan dapat meningkatkan minat serta kefahaman para sarjana dan pelajar dari dalam dan luar negara mengenai sumbangan dan kesarjanaan seorang tokoh tempatan bertaraf antarabangsa.

Majlis ini juga menyaksikan Penyandang Kursi SMN Al-Attas, Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud menyampaikan syarahan khas yang akan diteruskan dalam Siri Syarahan Sabtu Malam yang akan diadakan di UTM KL. Tarikh siri syarahan ini untuk tahun 2019 adalah seperti berikut: 27 Julai, 24 Ogos, 28 September, 19 Oktober, 30 November, dan 14 Disember.

Majlis ini dihadiri oleh kaum kerabat di raja negeri Perak, disaksikan oleh Sharifah Shifa’ al-Attas mewakili ayahandanya, Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, dan juga dihadiri perwakilan kedutaan besar negara-negara Islam.

 

Explore More