Disember 26, 2024

JOHOR BAHRU, 29 Apr. — Semangat yang kuat dan memahami dengan jelas apa itu objektif menyambung pengajian telah menjadi resepi kejayaan bagi dua penerima Anugerah Pelajar Terbaik Pascasiswazah, Dr. Norhaslina Jumadi dan juga Dr. Ali Aqeel Salim Al- Shammari yang diadakan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-62.

Di samping itu, kedua-dua penerima Anugerah Canselor tersebut juga meletakkan keutamaan dan sasaran dalam kehidupan masing-masing sebagai resipi tambahan dalam mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.

Bagi Dr. Norhaslina, 36, kefahaman yang dalam tentang objektif menyambung pengajian serta pengorbanan yang telah dilakukan telah mendorong beliau untuk berbuat yang terbaik sekaligus muncul terunggul dalam kelasnya.

“Jika orang bertanya kepada saya mengenai apa rahsia kejayaan saya sehingga dapat menggondol anugerah akademik paling berprestij ini maka jawapan saya adalah faham dengan jelas akan objektif apa yang dilakukan serta kenapa lakukan ia.

“Saya menyambung pengajian adalah kerana minat dan memenuhi cita-cita yang dipendam sejak sekian lama iaitu mengenggam segulung ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang saya,” katanya.

Norhaslina yang juga ibu kepada seorang anak lelaki berusia tujuh tahun berkata beliau meletakkan keluarga sebagai keutamaannya kerana itu juga adalah sebab beliau menyambung pengajian.

“Bukan mudah untuk belajar dalam keadaan anda yang telah pun mendirikan rumahtangga serta mempunyai seorang cahaya mata.

“Dalam keadaan ini anda haruslah bijak dalam soal pembahagian masa. Dalam kes saya, masa untuk belajar adalah dari jam 8 pagi sehingga 5 petang. Bermula dari jam 6 petang hingga lewat malam adalah masa untuk bersama anak dan keluarga,” katanya lagi.

Sebelum menyambung pengajiannya di UTM, Norhaslina pernah bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Senibina, Perancang Bandar dan Ukur, Universiti Teknologi MARA kampus Seri Iskandar, Perak selama tujuh tahun.

“Disamping kekuatan dari diri sendiri, semangat itu juga datang dari suami saya, Zulkarnain Ramli yang tidak pernah jemu menasihatkan saya supaya tidak mengalah dan terus berjuang sehingga berjaya.

“Di samping memberikan semangat, suami juga banyak bertolak ansur dalam soal penjagaan anak dan pengurusan rumah tangga,” katanya lagi.

Prisip asas kejayaan yang berakar umbi dari meletakkan fokus dalam kehidupan ini juga dipersetujui oleh rakannya iaitu Dr. Ali Aqeel Salim Al-Shammari, 30, dari Fakulti Sains.

“Dalam hidup kita kena ada fokus dan keutamaan serta disiplin yang kuat untuk mencapai kejayaan yang paling manis.

Detik itu cuma datang sekali dan juga mungkin beberapa minit dalam kehidupan kita tetapi detik itulah yang membawa makna paling indah dan saya percaya ia adalah saat yang tidak ingin kita semua lepaskan begitu sahaja,” katanya.

Dr. Ali berkata beliau berhak merasa bangga kerana menuntut ilmu di Malaysia yang jaraknya beribu batu dari negara asalnya iaitu Iraq sekaligus terpaksa berjauhan dengan keluarga.

Kedua-dua penerima anugerah paling berprestij ini berkata demikian ketika diwawancara selepas majlis Anugerah Pelajar Terbaik PascaSiswazah anjuran Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) di Pulai Springs Resort, Johor Bahru.

Seramai 111 orang graduan pasca-siswazah terbaik telah diraikan dalam majlis ini dengan 35 daripadanya merupakan penerima Ijazah Kedoktoran (PhD) manakala 76 lagi adalah penerima ijazah Sarjana.

Dr. Nurhaslina Jumadi bergambar kenangan bersama suami, Zulkarnain Ramli (paling kanan) dan penyelia, Dr. Noorsidi Aizuddin Bin Mat Noor
Dr. Ali Aqeel Salim Al-Shammari

Explore More