Disember 27, 2024

JOHOR BAHRU, 9 Apr. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menandatangani sebuah memorandum persefahaman (MoU) dengan Johor Centre For Construction Development Sdn. Bhd. (JCCD) untuk membantu kerajaan negeri Johor dalam projek-projek pembangunan, di sini, hari ini.

Melalui kerjasama ini, UTM berharap dapat membantu kerajaan negeri Johor melalui JCCD dalam pembangunan kontraktor dan projek-projek pembangunan dengan berkongsi kepakaran penyelidik UTM terutama dalam bidang kejuruteraan.

Memorandum Persefahaman (MoU) ini telah ditandatangani oleh Naib Canselor UTM, YBhg. Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar dan Pengerusi Johor Centre For Construction Development Sdn. Bhd., Yang Berhormat Tuan Hj. Mohd. Solihan Badri.

JJCD yang merupakan salah sebuah anak syarikat kepada Permodalan Darul Takzim (PDT), ditubuhkan sebagai pusat setempat bagi melaksanakan mandat Kerajaan Negeri dalam memperkasakan kontraktor Johor khususnya dalam industri pembinaan.

Prof. Wahid berkata memorandum itu dimeterai bagi membolehkan kedua-dua belah pihak merancang program dan membantu pihak kontraktor dalam meningkatkan kepakaran teknikal dan kemahiran pengurusan terutama dalam penglibatan projek pembangunan mega di Johor.

“Kerjasama dengan JCCD ini akan merangkumi tiga teras utama iaitu Pembangunan sistem Johor Contractor Big Data (JCBD), Penganjuran Pelbagai Kursus berkaitan Teknologi Kejuruteraan (Engineering Technology) yang terkini.

“Bagi Teras Ketiga pula adalah memberi tumpuan kepada pemerkasaan pengurusan kejuruteraan (Engineering Management) dan projek pembangunan di Johor,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai teras berkenaan, Prof. Wahid berkata teras pertama merupakan penyediaan terma rujukan bagi Pembangunan sistem JCBD melalui teknologi maklumat khususnya teknologi Data Raya atau ‘Big Data Analytics’.

“Ini bagi merekodkan dan memantau pelbagai aspek tentang kontraktor dan projek pembangunan di negeri Johor yang dapat membantu membuat keputusan strategik untuk memacu pembangunan negeri Johor,” katanya.

Melalui data yang dikumpul ini akan membantu pihak pengurusan JCCD dan kerajaan negeri Johor untuk merancang projek pembangunan dan membuat keputusan tentang kredibiliti kontraktor yang menjalankan projek di negeri Johor.

Teras Kedua pula adalah berkaitan dengan penganjuran kursus Teknologi Kejuruteraan terkini dan amalan terbaik berkenaan pengurusan dan perlaksanaan projek yang menekankan kepada penyelesaian masalah dan kemahiran teknikal kepada jurutera dan komputer.

“Ini dapat dilakukan menerusi perkongsian dan hasil penyelidikan bersama penyelidik UTM melalui seminar, kursus persijilan (certified course) dan bengkel bersama pihak industri dalam bidang Kejuruteraan dan ‘Engineering Management’.

“Kerjasama ini juga menjadi landasan bagi pihak industri dan UTM untuk berbincang dan berkongsi amalan terbaik dan kaedah terkini dalam teknologi kejuruteraan,” katanya.

Teras Ketiga pula memberikan tumpuan kepada pemerkasaan pengurusan kejuruteraan (Engineering Management) dan projek pembangunan di Johor termasuk menyediakan garis panduan dan instrumen penilaian yang berkesan bagi kontraktor dan projek pembangunan.

Prof. Wahid berkata teras ini juga mencakupi aspek pengurusan projek yang cemerlang, inovatif, berkesan dari segi masa (on-time) dan perbelanjaan (on-budget).

“Ini dapat dilakukan melalui pangkalan data kontraktor yang lengkap serta instrumen yang dibangunkan dapat membantu pihak JCCD dalam memberikan penarafan dan kedudukan kepada pihak kontraktor dengan elemen yang sesuai dan disahkan oleh pakar,” katanya.

Adalah diharapkan melalui usaha perkongsian kepakaran, ilmu serta teknologi oleh UTM kepada JCCD dan pihak kontraktor akan dapat mempertingkatkan kredibiliti pihak kontraktor dengan menjalankan projek pembangunan di negeri dengan lebih berkesan dari segi kos serta memacu ekonomi negeri melalui penggunaan teknologi terkini.

Aktiviti dan kerjasama antara UTM dan JCCD akan melibatkan pelbagai aspek dalam segi perundangan, pembangunan dan penyelidikan serta lain-lain aktiviti yang berkaitan.

Prof. Wahid Omar (lima kanan) bertukar dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Tn. Hj. Mohd Solihan Badri, Pengerusi Johor Centre for Construction Development (JCCD)

Explore More