Disember 22, 2024

JOHOR BAHRU, 19 Apr. — Sekumpulan sukarelawan pelajar pencinta sungai dari Kolej Rahman Putra (KRP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan program ‘KRP Riverdale 2019’ untuk menyahut inisiatif Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) universiti dalam menjaga kebersihan sungai dan menanamkan sikap cintakan alam sekitar.

Program ini dianjurkan untuk mendidik masyarakat tentang penjagaan dan teknik pemuliharaan tahap kualiti air sungai, menyemarakkan semangat kesukarelawanan dan cinta akan sungai dan alam sekitar.

KRP Riverdale adalah anjuran bersama UTM Campus Sutainability (UTMCS), Centre for Environmental Sustainability and Water Security (UTM IPASA), Pejabat Harta Bina UTM, Sekolah Menengah Kebangsaan Skudai dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

Ianya bertitik tolak dengan aktiviti pembersihan sungai di sepanjang sungai sekitar KRP dari 30 September 2018 sempena Hari Sungai Sedunia dan sumbangan tenaga sukarelawan membuat mudball.

Kesinambungannya pada tahun 2019, program ini telah diadakan dengan melibatkan empat fasa iaitu; 1) Kempen kitar semula botol plastik, 2)pertandingan lakaran rekabentuk tanah bencah terapung, ‘Sketch & Design Floating Wetland’ 3)penghasilan tanah bencah terapung dan 4) perasmian program KRP Riverdale 2019.

Fasa pertama iaitu Kempen Kitar Semula Botol Plastik dijalankan pada 17 Mac 2019 hingga 13 April 2019 dengan matlamat untuk mendapatkan 2000 botol telah tercapai dan botol inilah yang digunakan sebagai bahan dalam membina tanah bencah terapung.

Sehubungan itu sebuah majlis pelancaran tanah bencah terapung telah diadakan pada 19 April 2019 di KRP, UTM Kampus Johor Bahru.

Tanah bencah terapung, atau ‘floating wetlands’ ialah ‘kebun atas air’ yang merupakan satu teknik pembersihan dan pengekalan kebersihan air untuk kelestarian sungai.

Ianya dibina dengan cara penanaman tumbuhan di atas sebuah panel dan dipasang berdekatan dengan kawasan sumber pencemaran secara terapung di permukaan air sungai.

Akar tumbuhan daripada ‘kebun’ ini akan tumbuh ke dalam air dan meningkatkan kualiti air serta menyediakan habitat untuk hidupan liar, kerana ia akan menyerap nutrien yang berlebihan daripada sisa haiwan dan sumber lain untuk mengurangkan kejadian alga dan ikan terbunuh.

Sempena majlis tersebut juga disediakan ruang pameran khas “Riverdale” di mana sampel kualiti air akan diambil sebelum dan selepas pemasangan tanah bencah terapung untuk menunjukkan impak pemasangan tanah bencah terapung tersebut.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Setiausaha MBIP, Puan Azurawati binti Wahid.

Selain itu hadiah kepada pengumpul botol plastik terbanyak dan pemenang pertandingan ‘Sketch & Design Floating Wetland’ turut disampaikan.

Program bersiri ini diterajui oleh Pengarah Program, Insyirah Binti Abd. Razak dan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa KRP dengan bantuan Felo Penasihat Program, Dr.Norhidayah Binti Md. Yunus bermatlamat untuk membangkitkan kesedaran dan keprihatinan warga mahasiswa akan tahap kebersihan sungai dan sumber air khususnya di UTM.

Setiausaha MBIP, Puan Azurawati binti Wahid (kanan) semasa perasmian projek Riverdale di Koleh Rahman Putra

Explore More