PUTRAJAYA, 28 Feb — Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Seri Dr Mujahid bin Yusof, telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran Versi Mandarin yang diterbitkan oleh JAKIM.
Menurutnya, dengan terbitnya tafsir al-Quran versi Mandarin ini, ia dapat membantu masyarakat khususnya masyarakat Cina yang berhasrat untuk memahami al-Quran sama ada Muslim mahupon non-muslim.
Antara kelebihan Tafsir Pimpinan edisi Mandarin adalah penggunaan Bahasa yang mudah berbanding kitab tafsir yang diedarkan oleh Arab Saudi yang menggunakan terjemahan prakata yang agak sukar untuk difahami.
Penggunaan Tafsir Pimpinan Rahman mudah difahami oleh pelbagai peringkat umur samada yang masih baru atau telah lama peluk Islam.
Katanya, usaha-usaha yang dijalankan bagi memudahkan umat Islam memahami dan menghayati Al-Quran dalam pelbagai bahasa adalah amat penting sebagai satu medan dakwah yang sentiasa perlu diterokai pada hari ini.
Dengan iltizam yang tinggi, kerajaan akan teruskan langkah-langkah seperti ini agar seluruh rakyat di negara ini dapat menerima dari sekcil-kecil manfaat sehingga sebesar-besarnya sesuai gagasan Rahmatan Lil Alamin yang diperkenalkan.
“Saya juga difahamkan projek penerbitan Al-Quran ini juga mendapat sokongan kuat hasil kolaborasi strategik JAKIM dengan pelbagai NGO Cina Muslim.
Kerjasama dan komitmen semua pihak dalam menjayakan misi dakwah selama ini harus dipuji.
Saya berharap kerjasama ini terus subur dan membuahkan manfaat yang lebih besar untuk masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini”, katanya lagi.
Pada majlis yang sama beliau turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi memasukkan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman ke dalam e-Braille yang merupakan sebuah mesin taip braille elektronik berteknologi tinggi yang mula dibina oleh UTM sejak tahun 2009 lagi.
Jelasnya, peralatan ini telah berjaya dihasilkan pada tahun 2016 dengan kos RM17,000 sebuah dan dengan kejayaan memasukkan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman ke dalam e-Braille ini nanti akan dimanfaatkan oleh Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan untuk memahami dan menguasai al-Quran.
e-Braille boleh diakses dengan mudah di PERTIS Kuala Lumpur, PERTIS Cawangan Terengganu dan Sekolah OKU Penglihatan di Setapak, Kuala Lumpur.
Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman yang dimasukkan ke dalam e-Braille pastinya dapat membantu generasi OKU penglihatan Muslim untuk menguasai ilmu tafsir al-Quran dengan lebih cepat dan tepat.
Usaha ini juga jelas membuktikan bahawa kerajaan begitu prihatin dalam usaha menyantuni ummah khususnya melibaatkan golongan kurang upaya.
YB Dato’ Seri Mujahid juga melahirkan harapan agar e-Braille ini menjadi satu medium pendidikan berterusan kepada OKU Penglihatan selain kerajaan juga begitu komited untuk mencari dana bagi mengurangkan kos e-Braille sehingga ia dapat dimanfaatkan secara lebih meluas kepada OKU Penglihatan di negara ini.