November 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 4 Mac. — Satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan juga pengilang batu bata, Maybricks Sdn. Bhd. dalam usaha menjalinkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan peningkatan ilmu bahan binaan.

Memorandum berkenaan telah ditandatangani di Sekolah Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan UTM Johor Bahru oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail bagi pihak UTM manakala Maybricks Sdn. Bhd telah diwakili oleh Pengarah Urusannya, Dato’ Ang Teck Hock pada 28 Februari 2019 yang lalu.

Pengarah Pusat Kejuruteraan Forensik UTM, Prof. Madya Dr. Izni Syahrizal Ibrahim berkata melalui MoU berkenaan, kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk bekerjasama dalam projek penyelidikan berkaitan penyiasatan bagi meningkatkan prestasi batu bata yang akan dijalankan selama satu tahun.

“Projek ini akan diketuai oleh Dr. Noor Nabilah Sarbini selaku Ketua Projek kepada pasukan penyelidik dan pelajar penyelidikan bagi projek berkenaan di UTM.

Pihak Maybricks juga telah bersetuju untuk menyalurkan dana berbentuk bantuan kewangan, bahan mentah ujikaji dan fasiliti dalam memastikan kejayaan projek ini,” katanya.

Menurutnya lagi, kerjasama ini seharusnya dilihat sebagai satu bentuk kerjasama yang membuktikan jalinan erat yang perlu bagi pihak universiti dan industri.

“Melalui kerjasama strategik ini, UTM akan kekal relevan sebagai pusat akademik dan penyelidikan berteknologi tinggi bersesuaian dengan keperluan semasa industri,” katanya lagi.

Turut hadir adalah Pengurus Pemasaran Maybricks Sdn. Bhd., N. Seager a/l Nadarajoo.

 

Pengarah Pusat Kejuruteraan Forensik UTM, Prof. Madya Dr. Izni Syahrizal Ibrahim
Memorandum ditandatangani Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail (kanan) bagi pihak UTM manakala Maybricks Sdn. Bhd telah diwakili oleh Pengarah Urusannya, Dato’ Ang Teck Hock (kiri)

Explore More